fahmy.azril@bh.com.my
Kuala Lumpur: Empat daripada 48 saksi yang dirakam keterangan oleh polis membabitkan kehilangan Datin Seri Pamela Ling adalah pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata pihaknya tidak berkompromi dengan sebarang prosedur operasi standard (SOP) siasatan termasuk bekerjasama rapat dengan agensi penguatkuasaan lain, termasuk SPRM.
Beliau berkata langkah itu tidak lain bagi memastikan siasatan kes berkenaan dapat dijalankan secara menyeluruh dan berkesan.
“(Ahli Parlimen) Jelutong tanya perkembangan terkini siasatan kehilangan Pamela Ling. Kita siasat di bawah Seksyen 365 iaitu kesalahan menculik dan melarikan seseorang dengan niat untuk mengurungnya secara sulit tanpa hak.
“Sehingga hari ini sedang saya sampaikan ucapan jawapan ini, kita sudah merakam keterangan daripada 48 saksi termasuk empat pegawai SPRM yang terbabit secara langsung dalam siasatan membabitkan Pamela.
“Kes ini saya boleh katakan masih dalam siasatan dan kertas siasatan sedang dilengkapkan oleh pegawai penyiasat sebelum akhirnya kita serahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya,” katanya ketika menggulung perbahasan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat hari ini.
Menjawab celahan RSN Rayer (PH-Jelutong) adakah Kementerian Dalam Negeri (KDN) melakukan semakan dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk mengesan sama ada Pamela meninggalkan negara ini, Saifuddin Nasution berkata ia adalah sebahagian daripada skop siasatan polis.
“Apabila kita buat siasatan, Kerjasama dengan semua agensi yang terkait itu termasuk JIM. Sebab itu, kenderaan dikaitkan, digunakan (Pamela) kita temui nun di utara, di sempadan Bukit Kayu Hitam – Thailand.
“Kita buat pemeriksaan dan sebagainya. Insiden itu berlaku di Putrajaya, kenderaan dipercayai diguna (Pamela) ditemui di utara.
“Jadi sudah tentu mengumpul maklumat di pintu sempadan itu perlukan kerjasama JIM. Ia (terkandung) dalam skop siasatan kita gunakan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd