Pentas akhir Cat Fashion Week menyaksikan Nor Anis Halyatie bersama kucing ragdoll miliknya, Evian, diumum sebagai juara selepas menewaskan tujuh finalis lain.
Persembahan bertema ‘royalty’ yang diinspirasikan daripada mata biru Evian menyerlah dengan jubah baldu biru gelap bertatah manik emas. Mereka membawa pulang trofi dan wang tunai RM5,000.
Naib juara dimenangi Juny dengan gaun merah hasil jahitan tangan suami pemiliknya, Nur Farahin, manakala tempat ketiga menjadi milik Chibbu yang tampil dalam tema Mesir Purba bersama pemiliknya Sharifah Nurulawwal.

Anugerah khas FELIX diberikan kepada Goyem milik Siti Rohani yang hadir dengan konsep misi operasi lengkap dengan topi koboi kain songket.
Finalis lain turut mencuri perhatian, antaranya Omey dengan gaya pelumba F1, Winter dengan tema futuristik glamor, Kristoff sebagai kapten bergaya yang turut tampil sebagai ‘Catman’, serta Mocha yang memukau dengan konsep puteri dongeng bersayap rama-rama.
Pengurus Besar Kandungan TV3, Marlia Zul Amran, menyifatkan usaha para peserta sangat luar biasa.
“Persiapannya Cat Fashion Week setaraf pertandingan muzik popular. Semua tampil kreatif untuk menyerlahkan keunikan masing-maisng.
“Saya berharap program ini dapat menjadi tontonan segar sambil memupuk rasa sayang terhadap haiwan,” katanya.
Pertandingan ini diadili oleh Mohd Jeffrey selaku pengasas dan pakar dandanan kucing MJMA, dua penyanyi popular, Mark Adam dan Shiha Zikir serta pereka fesyen popular dari Rizman Ruzaini, Rizman Nordin.

Menurut Mohd Jeffrey, kesihatan kucing turut diambil kira dalam penjurian, manakala Shiha dan Rizman menyifatkan program ini unik serta menghiburkan. Mark Adam pula menyatakan populariti kucing di Malaysia menjadikan Cat Fashion Week langkah bijak yang relevan.
Cat Fashion Week merupakan program realiti TV3 yang buat julung kali menggabungkan fesyen, hiburan dan kecintaan terhadap kucing. Acara ini turut menonjolkan ikatan erat antara pemilik dan haiwan kesayangan mereka.
Senarai Pemenang:
Juara: Nor Anis Halyatie (Evian)
Naib Juara: Nur Farahin Zakaria (Juny)
Tempat Ketiga: Sharifah Nurulawwal (Chibbu)
Anugerah FELIX: Siti Rohani Abdul Hamid (Goyem)
Finalis lain: Zakry Shazryl (Winter), Siti Khadijah Hassan (Mocha), Nurmayani Asmuni (Kristoff), Nurul Izzah Ramli (Omey).




