am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kebimbangan mengenai penyusupan perisikan asing ke negara ini bukanlah sesuatu yang baharu, malah sentiasa dalam perhatian serius agensi keselamatan negara.
Namun, apa yang membimbangkan adalah potensi warga tempatan terperangkap dan menjadi ‘alat’ sekali gus tanpa disedari membantu melicinkan operasi risikan mereka di negara ini.
Penganalisis keselamatan dan pertahanan, Zaki Salleh berkata, isu penyusupan perisikan asing adalah ancaman yang sentiasa dipantau oleh agensi keselamatan negara.
“Pemantauan ini tidak hanya membabitkan agensi perisikan Israel iaitu Mossad sahaja, tetapi termasuklah ejen perisikan negara asing lain termasuk negara serantau.
“Boleh dikatakan semua negara ada hantar ejen perisikan masing-masing atas tujuan yang berbeza,” katanya kepada Harian Metro.
Zaki berkata, tujuan ejen ini menyusup masuk tidak semestinya untuk melancarkan serangan fizikal, tetapi juga untuk tujuan risikan ekonomi, politik, sosial atau membuat penilaian tertentu.
“Masalah kita apabila dengar tentang Mossad sahaja terus takut, tapi berpandukan kepada kajian dan maklumat, ejen Mossad yang datang ke Malaysia cenderung kepada sasaran mereka iaitu rakyat Palestin, Hamas, Hizbullah dan bukan sasaran tempatan.
“Sebenarnya kehadiran Mossad tidak memberi kesan langsung kepada kita, cuma kita perlu bimbangkan jika aktiviti mereka membesar dan berkembang,” katanya.
Paling membimbangkan, Zaki berkata, pembabitan rakyat tempatan dalam aktiviti perisikan asing sering kali hanya sebagai ‘alat’ dan bukan sebagai operator utama.
Katanya, rakyat Malaysia yang menjadi ‘alat’ ini berkemungkinan tidak tahu dengan siapa sebenarnya mereka bekerja kerana direkrut melalui pihak ketiga atau proksi.
“Biasanya mereka dibayangkan bekerja sebagai pembantu kepada pihak asing dengan bayaran yang memuaskan, namun tidak semestinya lumayan.
“Tetapi warga tempatan yang menjadi ‘alat’ inilah yang membantu melicinkan urusan seharian ejen asing.
“Ejen Mossad sebagai contoh boleh datang dalam pelbagai cara, tidak semestinya perlu orang Israel, tetapi mereka boleh menghantar proksi dari negara lain,” katanya.
Ini bermakna, individu tempatan mungkin digunakan untuk membantu dari segi logistik, pengumpulan maklumat remeh atau menyediakan akses tanpa menyedari skala sebenar operasi perisikan yang sedang berlaku.
Zaki berkata, antara kaedah licik yang sering digunakan oleh perisikan asing atau ejen untuk menyusup dan beroperasi di Malaysia termasuk menyamar sebagai diplomat, pelabur, pelajar, malah tidak mustahil menyamar sebagai wartawan.
“Mengapa wartawan? Sebab bidang pekerjaan ini membolehkan mereka mendapat akses ke tempat-tempat sensitif.
“Selain itu, ejen ini boleh terdiri daripada perisik siber yang menceroboh sistem teknologi maklumat (IT) untuk mencuri data dan maklumat sensitif negara.
“Bahkan, individu tempatan sering kali dipancing atau direkrut untuk menjadi pemberi maklumat atau fasilitator operasi mereka,” katanya.
Bagi mengekang aktiviti perisikan asing ini, Zaki menggesa kerajaan untuk mengukuhkan agensi perisikan tempatan dengan sokongan dan peruntukan lebih kepada Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi meningkatkan keupayaan risikan dan pembanterasan.
“Justeru, pihak berkuasa mesti melaksanakan pemantauan dan saringan lebih ketat terhadap warga asing yang memasuki negara ini, terutama bagi individu yang latar belakangnya mencurigakan.
“Kerajaan juga harus meningkatkan keselamatan siber melalui pelaburan dalam teknologi dan kepakaran untuk memperkukuh pertahanan siber negara daripada serangan dan pencerobohan data.
“Pihak berkuasa juga disaran memperkukuh jalinan kerjasama dengan agensi perisikan negara sahabat, namun dengan kawalan ketat bagi mengelakkan eksploitasi atau manipulasi,” katanya.
Mengulas lanjut, Zaki berkata, program pendidikan keselamatan berterusan kepada penjawat awam dan syarikat berkepentingan strategik perlu dipergiat bagi meningkatkan kesedaran dan kewaspadaan terhadap ancaman asing.
© New Straits Times Press (M) Bhd