suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Peguam yang mewakili ibu kepada Allahyarham Zara Qairina Mahathir, Noraidah Lamat menafikan dakwaan tular kononnya anak guam mereka sedang mengutip derma untuk tujuan peribadi dan membayar yuran guaman.
Dalam kenyataan bersama hari ini, peguam Hamid Ismail, Shahlan Jufri, Rizwandean M Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh dan Farrah Nasse berkata, nombor akaun yang tersebar di media sosial itu pernah digunakan untuk menerima sumbangan orang ramai beberapa hari selepas kematian Zara, namun kutipan terbabit sudah dihentikan tidak lama kemudian.
“Kami menyatakan bahawa anak guam kami tidak ada membuat sebarang kutipan derma ketika ini sama ada untuk dirinya sendiri atau untuk membayar yuran guaman kami,” katanya.
Katanya, sebarang sumbangan wang hanya akan diterima secara fizikal oleh anak guamnya sendiri atau melalui wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang diberi kuasa.
Kenyataan bersama itu turut menyebut perkhidmatan guaman diberikan secara pro bono atau percuma dan ia ditandatangani peguam Shahlan Jufri, Rizwandean M Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh dan Farrah Nasse.
© New Straits Times Press (M) Bhd




