Peringatan terakhir buat PSM

Peringatan terakhir buat PSM

helmi.talkah@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) memberi peringatan terakhir kepada Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) untuk menjawab pertuduhan yang dikenakan ke atas badan induk itu sebelum tempoh 14 hari yang diberikan tamat Rabu ini.

Setiausaha Agung ASTAF, Boonchai Lorhpipat menerusi surat yang dihantar kepada Setiausaha Agung PSM, Datuk Abidullah Salleh bertarikh hari ini, berkata tiada penangguhan akan diberikan sekiranya badan induk Asia itu tidak menerima sebarang jawapan bertulis pada tarikh yang ditetapkan daripada PSM.

“Jika tiada jawapan diterima dalam tempoh yang ditetapkan, Jawatankuasa Disiplin ASTAF akan memutuskan pertuduhan sebagaimana yang difikirkan sesuai.

“Kami juga ingin memberitahu anda bahawa sesi pendengaran secara dalam talian yang ditetapkan pada 20 Mei 2021 jam 2 petang (waktu Singapura) menerusi zoom akan berjalan seperti yang dijadualkan. Kami akan memberi anda dan PSM maklumat lebih lanjut apabila hampir tiba pada masanya.

“Anda juga sedia maklum bahawa di bawah Peraturan dan Prosedur Tatatertib Perlembagaan ASTAF, anda berhak untuk didengar pada perbicaraan Tatatertib tetapi anda tidak berhak untuk diwakili oleh peguam seperti yang disebutkan dalam Undang-Undang Kecil (Prosedur Disiplin),” katanya.

Pada 28 April lalu, ASTAF mengambil tindakan menggantung sementara PSM daripada terbabit dalam sebarang aktiviti berkaitan sukan itu yang berkuat kuasa serta-merta, atas dakwaan melanggar perjanjian untuk mematuhi segala objektif dan perlembagaan Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) dan ASTAF seperti dimeterai pada 14 Mac 2008.

Dalam surat tunjuk sebab kepada PSM, badan induk Malaysia itu turut didakwa melakukan fitnah terhadap kepimpinan dan Majlis Eksekutif ASTAF serta organisasi ASTAF secara keseluruhan berdasarkan kenyataan Presiden PSM, Datuk Seri Ahmad Ismail mengenai pemilihan ASTAF.

PSM diberi tempoh 14 hari untuk menjawab dakwaan berkenaan selain berdepan kemungkinan disingkirkan daripada ASTAF sekiranya didapati bersalah.

Dalam pada itu, menerusi surat yang dihantar itu, Boonchai turut mengingatkan PSM yang mana badan induk berkenaan tidak boleh diwakili oleh individu yang digantung daripada ASTAF atau ISTAF yang mana ia dipercayai merujuk kepada Ahmad.

Rabu lalu, Ahmad dijatuhkan hukuman penggantungan selama 15 tahun selepas panel disiplin menilai empat pertuduhan yang dikenakan terhadap presiden PSM itu berkuatkuasa serta-merta.

Malah, beliau turut didenda sebanyak AS$25,000 (RM102,937) bagi menampung kos perbicaraan yang berlangsung secara maya dan dihadiri wakil dari India, Iran, Jepun dan Pakistan.

Sekiranya gagal, Ahmad bakal dikenakan hukuman penggantungan tambahan dua tahun.

Ahmad didakwa atas empat pertuduhan termasuk pelanggaran Artikel 5.5 undang-undang ASTAF dengan menghantar surat kepada Majlis Olimpik Asia dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa dengan harapan mereka akan campur tangan terhadap keputusan pemilihan ASTAF 1 Mac lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top