Nombor telefon mesej ugutan isteri Rafizi didaftar atas nama warga asing

Nombor telefon mesej ugutan isteri Rafizi didaftar atas nama warga asing

rnoraina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Nombor telefon individu yang menghantar mesej ugutan kepada isteri bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli didaftarkan atas nama warga asing, kata Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail.

Beliau berkata, ia berdasarkan analisa yang dijalankan pasukannya dalam siasatan kes berkenaan.

“Kita (polis) sudah mengenal pasti nombor telefon berkenaan didaftarkan atas nama warga asing dan kita sedang mengesan individu terbabit,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Khalid berkata, polis masih giat mengesan dua penunggang motosikal yang disyaki terbabit kes serangan anak Rafizi.

“Kita belum dapat mengenal pasti suspek terlibat kerana kedua-dua individu memakai topi keledar,” katanya.

Ditanya sama ada polis sudah mengenalpasti jenis cecair yang disuntik kepada anak lelaki Rafizi dalam serangan di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya, pada 13 Ogos lalu, Mohd Khalid berkata, pihaknya masih menunggu laporan kimia daripada pihak hospital.

Katanya, pemantauan terhadap kanak-kanak itu oleh pihak hospital mendapati dia dalam keadaan baik.

Beliau berkata, setakat ini seramai 19 individu sudah diambil keterangan termasuk keluarga Rafizi, pemandu dan pekerja serta saksi lain bagi membantu siasatan.

Selain itu, kata beliau, pihaknya juga mengambil dan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.

Dalam kejadian kira-kira 2 petang pada 13 Ogos lalu, anak lelaki Rafizi diserang dan disuntik cecair oleh individu di tempat menurun dan mengambil penumpang di pusat beli-belah berkenaan.

Anak Ahli Parlimen Pandan berusia 12 tahun itu difahamkan tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal.

Rafizi dalam kenyataan memaklumkan anaknya diserang dengan cara diheret dan disuntik dengan jarum suntikan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top