am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Murid tahun empat yang menjadi mangsa buli di sekolah di Skudai, mula menunjukkan minat untuk kembali meneruskan pelajaran di institusi pendidikan itu.
Ibu kanak-kanak berusia 10 tahun, Siti Suhana Misdi, 40, berkata, walaupun masih trauma, anak keempat daripada enam beradik itu menyatakan tidak sabar untuk berjumpa dengan dua kawan baiknya.
“Anak masih belum ke sekolah kerana cuti sakit sehingga bulan depan. Tetapi, dia memang teruja nak pergi sekolah sebab nak jumpa dua kawan baik dia.
“Mereka bertiga memang baik. Bila kena buli pun, kawan dia ni la yang bantu dan lindung dia. Dia takut tapi sebab ada kawan, dia ‘okay’.
“Dia memang seorang yang ceria, suka senyum dan suka berkawan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Universiti, Skudai di sini, hari ini.
Menurut Siti Suhana, kesan buli ke atas anaknya menyebabkan kanak-kanak itu kerap mimpi dan mengigau sehingga boleh tiba-tiba menangis ketika tidur.
“Saya rasa dia masih trauma. Dia kata dia macam nampak hantu. Kejadian buli ini menyebabkan dia suka duduk sendiri, menangis, lepas itu kita tak boleh gurau kasar dengan dia. Dia macam rasa kecil hati, sebab dia sakit, dia tak boleh campur kita,” katanya.
Meskipun keluarga kanak-kanak yang didakwa membuli anaknya sudah tampil memohon maaf, Siti Suhana berkata, dia tidak bercadang menarik balik laporan polis dan mahu kes diselesaikan mengikut lunas undang-undang.
Suri rumah itu turut berkongsi keadaan anaknya yang sudah menjalani antara enam hingga lapan kali pembedahan bagi pelbagai jenis masalah kesihatan sejak 2022.
Katanya, antara masalah kesihatan itu termasuk masalah hidung dan saluran pernafasan yang menyukarkan bernafas serta susah tidur lena; mata kabur kesan masalah hidung, selain hidung keluar lendir, nanah dan darah.
“Dia juga pernah melakukan pembedahan hernia. Selepas kejadian buli, dia semakin kerap sakit kepala, cepat pening, tidak boleh lasak dan mudah penat,” katanya.
Terdahulu, Siti Suhana dan suami, Azuan Isaidi Khairudin, 38, menerima kunjungan Pengurus Besar Pasaraya Econsave Cash and Carry, Mas Imran Adam yang menyampaikan sumbangan barang keperluan harian.
Mas Imran mewakili syarikat berharap sumbangan disampaikan dapat meringankan beban keluarga berkenaan dan mendoakan kanak-kanak terbabit cepat sembuh.
© New Straits Times Press (M) Bhd




