sukan@hmetro.com.my
Kota Kinabalu: Sabah FC mengambil langkah berhati-hati menerima kehadiran lawan, Kelantan The Real Warriors (TRW) FC pada aksi pertama Liga Super skuad Sang Badak di gelanggang sendiri bagi musim ini, di sini, malam esok.
Penolong Ketua Jurulatihnya, Alto Linus, berkata walaupun mempunyai kelebihan bermain di Stadium Likas dan bersemangat tinggi selepas mengutip satu mata pada perlawanan pertamanya di Kuala Lumpur sebelum ini, tugas mencabar tetap menanti pemain Sang Badak.
Berikutan itu, beliau menekankan agar pemain Sang Badak mengekalkan tumpuan dan konsistensi permainan dalam aksi kedua Liga Super mereka dan yang ketiga selepas aksi pertama Pusingan 16 Piala FA di Negeri Sembilan pada 17 Ogos lalu.
“Selepas mencatat keputusan positif dalam aksi Liga Super dan Piala FA di tempat lawan sebelum ini, skuad Sang Badak kembali ke laman sendiri dengan semangat yang tinggi.
“Namun kita perlu berhati-hati agar tidak terlalu selesa dengan pencapaian lalu. Dua perlawanan terakhir memang banyak membantu meningkatkan keyakinan pasukan, tapi kita tidak boleh cepat puas hati.
“Setiap perlawanan itu penting dan apabila bermain di depan penyokong sendiri di Likas, kita kena kekal fokus dan main dengan penuh disiplin,” katanya mengulas persiapan Sabah FC menghadapi Kelantan TRW FC, jam 8.15 malam esok.
Alto turut mengakui cabaran yang terpaksa dihadapi pasukannya esok berikutan keadaan beberapa pemain utama yang belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan.
Mengulas mengenai pasukan lawan, Alto mengakui kehadiran ketua jurulatih baharu Kelantan TRW, E Elavarasan membawa impak positif kepada pasukan itu dan menjadikan mereka sebagai pencabar yang perlu diberi perhatian.
“Kelantan TRW bukan lawan yang mudah. Mereka baru saja menewaskan KL City FC 3-1 dalam saingan Piala FA di Stadium Sultan Muhammad IV. Itu sudah cukup menunjukkan mereka sedang berada di landasan yang baik,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




