suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Tiga kenderaan termasuk yang dipandu dua warga asing disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) selepas dikesan terbabit dalam kegiatan prebet sapu di ibu negara.
JPJ WPKL dalam kenyataan berkata, operasi khas yang dijalankan Unit Operasi dan Falcon JPJ WPKL bermula 18 hingga 20 Ogos lalu mengesan kegiatan itu di sekitar Jalan Silang, Jalan Yap Kwan Seng dan beberapa lokasi tumpuan di pusat bandar.
“Hasil serbuan, tiga pemandu terdiri daripada dua warga Bangladesh dan seorang lelaki tempatan ditahan manakala kenderaan mereka disita kerana melakukan pelbagai kesalahan antaranya penyalahgunaan Lesen Kenderaan Motor (LKM), tiada lesen pengendali dan kesalahan teknikal,” katanya.
Katanya, saman turut dikeluarkan terhadap pemandu serta pemilik kenderaan terbabit mengikut Seksyen 80 dan Seksyen 16(1) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD), Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) serta peraturan berkaitan.
“JPJ menegaskan pemilik kenderaan berdaftar tidak boleh sewenang-wenangnya membenarkan warga asing memandu atau menyalahgunakan LKM untuk tujuan perniagaan kerana tindakan tegas menanti mereka,” katanya.
JPJ turut menggesa orang awam menyalurkan maklumat berkaitan kesalahan jalan raya menerusi aplikasi MyJPJ: e-Aduan atau emel aduantrafik@jpj.gov.my dengan butiran lengkap bagi membantu tindakan penguatkuasaan.
“JPJ WPKL komited memastikan setiap kenderaan di jalan raya mematuhi undang-undang demi keselamatan semua. Pandu cermat, sampai selamat,” katanya.
Terdahulu Harian Metro melaporkan, kegiatan ‘prebet sapu’ dipercayai tanpa lesen sah dan beroperasi secara terbuka dengan didalangi warga asing kini dikesan semakin berani mengambil penumpang di sekitar ibu kota.
Tinjauan Harian Metro di sekitar sebuah kedutaan di ibu negara, baru-baru ini mendapati beberapa individu dipercayai warga asing menunggu berhampiran pintu masuk sebelum dijemput dan dihantar menggunakan kenderaan persendirian.
© New Straits Times Press (M) Bhd