Planworth sasar suntikan pembiayaan sehingga RM800j

Planworth sasar suntikan pembiayaan sehingga RM800j

kartika@mediaprima.com.my

PLANWORTH Global Factoring Sdn Bhd (Planworth) menyasarkan suntikan pembiayaan sehingga RM800 juta tahun ini, dengan tumpuan kepada usahawan Bumiputera dalam sektor teknologi dan digital.

Ketua Pegawai Eksekutif Planworth Datuk Andy Kuek berkata, pihaknya menandatangani perjanjian memorandum persefahaman (MoU) bersama Persatuan Usahawan dan Industri ICT Bumiputera Malaysia (NEF) bagi memperluas akses pembiayaan kepada usahawan Bumiputera dalam sektor teknologi dan digital.

Katanya, kerjasama strategik itu sejajar dengan agenda pembangunan ekonomi digital negara dan akan membuka peluang lebih luas kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Bumiputera berkembang melalui penyelesaian pembiayaan alternatif yang lebih inklusif.

“Kerjasama ini bukan sekadar memperkukuh kedudukan usahawan Bumiputera dalam ekonomi digital malah menegaskan peranan Planworth sebagai rakan pembiaya yang dipercayai.

“Pelanggan kami bukan sekadar peminjam, sebaliknya rakan strategik yang mencerminkan nilai kami iaitu tadbir urus baik, kredibiliti dan aspirasi untuk berkembang,” katanya.

Beliau berkata, menerusi kerjasama itu, pihaknya boleh lebih fokus memahami keperluan ahli persatuan, sekali gus membolehkan mereka menerima pembayaran lebih cepat.

Sementara itu, Presiden NEF, Lilyana Latiff berkata, kerjasama itu adalah langkah strategik untuk memastikan usahawan Bumiputera ICT kekal berdaya saing dalam landskap ekonomi digital yang kian mencabar.

“Sebagai persatuan, peranan kami adalah membantu ahli mendapatkan akses kewangan serta mendidik mereka tentang pelbagai pilihan pembiayaan alternatif termasuk pemfaktoran.

“Kami sudah membuat kajian sebelum memeterai MoU ini, dan hanya memilih rakan strategik yang mempunyai rekod reputasi yang baik seperti Planworth,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top