KRW terikat 1-1 menentang UM-Damansara United

KRW terikat 1-1 menentang UM-Damansara United
Pemain KRW cuba mengasak Gawang UM-Damansara untuk mencari gol penyamaan. Foto Ihsan SportSync Empire

Pemain KRW cuba mengasak Gawang UM-Damansara untuk mencari gol penyamaan. Foto Ihsan SportSync Empire

KOTA BHARU – Kelantan Red Warrior FC (KRW) gagal memanfaatkan kelebihan bermain di laman sendiri apabila sekadar terikat 1-1 dengan UM-Damansara United dalam aksi Liga A1 Semi-Pro di Stadium Sultan Muhammad IV di sini pada Jumaat.

Seawal wisel permulaan, perlawanan berlangsung seimbang dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dan menguji gawang lawan.

KRW hampir membuka jaringan menerusi kepten tuan rumah, Arham Khussyairi Ab Wahab yang mengambil sepakan sudut sebelum Emmanuel Mbarga Nkene Junior menanduk bola, namun percubaannya sekadar menggegarkan tiang gol.

Emmanuel Mbarga (dua dari kanan) diasak pemain UM-Damansara. Foto Ihsan SportSync Empire

Emmanuel Mbarga (dua dari kanan) diasak pemain UM-Damansara. Foto Ihsan SportSync Empire

Gawang tuan rumah hampir dibolosi pada minit ke-27 hasil serangan balas pantas UM-Damansara, namun percubaan Saiful Iskandar Adha Saiful Azlan sedikit tersasar ke kiri pintu gol.

Pelawat akhirnya membuka jaringan pada minit ke-31 melalui rembatan luar kotak penalti Mohamad Syahir menewaskan penjaga gol, Shafiq Afifi Suhaimi.

Separuh masa pertama berakhir dengan UM-Damansara mendahului 1-0.

Memasuki babak kedua, KRW terpaksa berhempas pulas memburu gol penyamaan namun buntu menembusi benteng pertahanan lawan.

Pada minit ke 50, Emmanuel Mbarga hampir meledak jaringan tetapi rembatan kencangnya hanya melambung tinggi melepasi gawang, sekali gus melegakan penjaga gol UM-Damansara, Ameerul Eqhwan Mohd Fauzi.

KRW berpeluang menyamakan kedudukan pada minit ke-75 menerusi sepakan percuma di luar kotak penalti, namun percubaan Emmanuel Mbarga sekadar terkena benteng pertahanan sebelum rembatan susulannya pula melambung melepasi palang gol pelawat.

Kerja keras KRW akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-87 apabila Arham Khussyairi menanduk masuk bola hasil sepakan penjuru untuk menghadiahkan gol penyamaan.

Perlawanan berakhir dengan keputusan seri 1-1.

 

 

Scroll to Top