Washington: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan undian rasmi Piala Dunia 2026 akan berlangsung di Washington pada 5 Disember sambil beliau dapat menyentuh trofi bola sepak paling berprestij itu.
Kejohanan membabitkan 48 pasukan itu akan dianjurkan bersama oleh AS, Kanada dan Mexico tahun depan, dan Trump menekankan betapa besarnya acara itu berlangsung ketika di bawah pentadbirannya.
Undian itu pada awalnya dilaporkan bakal diadakan di Las Vegas, namun Trump yang ditemani Presiden FIFA, Gianni Infantino berkata, ia kini akan dianjurkan di Kennedy Center, ibu negara AS.
“Ia adalah acara terbesar, mungkin yang paling besar dalam sukan,” kata Presiden AS berusia 79 tahun itu yang memakai topi merah bertulis ‘Trump Was Right About Everything.
Trump turut mencadangkan bahawa Presiden Rusia, Vladimir Putin mungkin hadir ke Piala Dunia dengan menyatakan bahawa Putin ‘sangat mahu berada di sana’, namun ‘mungkin datang dan mungkin tidak’ bergantung kepada perkembangan usaha damai di Ukraine.
Infantino membenarkan Trump menyentuh trofi itu, yang biasanya hanya boleh dipegang oleh pemenang.
“Hanya presiden FIFA, presiden negara dan mereka yang menang boleh menyentuhnya, kerana ia hanya untuk pemenang. Kerana anda seorang pemenang, sudah tentu anda juga boleh menyentuhnya,” kata Infantino.
“Boleh saya simpan?” seloroh Trump, yang memenangi penggal kedua di White House pada pilihan raya presiden 2024.
Ahli Republikan itu, yang menghias semula Pejabat Oval dengan dekorasi berlapis emas sejak kembali berkuasa Januari lalu, menambah: “Ia adalah seketul emas yang indah. Sangat cantik.”
Namun Trump sempat mencetuskan detik cemas apabila beliau kelihatan hampir terlepas trofi itu sebelum meletakkannya di atas mejanya sementara Infantino pantas menghulurkan tangan untuk membantunya.
Infantino kemudian menghadiahkan tiket gergasi kepada pemimpin AS itu – Baris 1, Tempat Duduk 1 – untuk menyaksikan final Piala Dunia pada 19 Julai di Stadium MetLife, East Rutherford, New Jersey, berhampiran New York.
© New Straits Times Press (M) Bhd