Tottenham Hotspur bakal berdepan cabaran getir apabila berkunjung ke Stadium Etihad untuk aksi kedua Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang bekas juara, Manchester City malam ini.
Pengurus Tottenham, Thomas Frank memulakan kariernya di London Utara dengan langkah positif selepas menewaskan pasukan baharu dinaikkan, Burnley 3-0 pada aksi sulung EPL.
Frank menukar corak permainan Spurs kepada lebih menyakinkan dengan lebih 57 peratus hantaran lintang ke dalam kotak penalti dan lebih 36 peratus hantaran jauh berjaya berbanding purata musim lalu di bawah Ange Postecoglou.
Jurulatih dari Denmark itu sebelum ini membimbing bekas pasukannya, Brentford menewaskan City 2-1 di Etihad pada November 2022 dan kini berpeluang menjadi pengurus ketiga yang berjaya mengatasi Guardiola dalam aksi liga di gelanggang lawan bersama dua kelab berbeza.
Jose Mourinho melakukannya bersama Real Madrid pada 2012 dan Manchester United enam tahun kemudian, sebelum diikuti Antonio Conte bersama Chelsea pada 2016 dan Spurs pada 2022.
Bukan menjadi rahsia lagi bahawa Tottenham kini sedang mencari seorang lagi pemain tengah menyerang bagi menggantikan James Maddison yang cedera, dengan bidaan gagal untuk mendapatkan Morgan Gibbs-White dan nama Eberechi Eze hangat diperkatakan.
Namun, pemain baharu bernilai £55 juta (RM314.4 juta), Mohammed Kudus sudah menunjukkan sentuhan kreatif dengan mencipta lima peluang serta dua bantuan gol. Tiada pemain EPL lain yang mencatat angka lebih tinggi hujung minggu lalu.
Aksi kali ini dijangka menjanjikan gol. Empat pertembungan terakhir EPL membabitkan kedua-dua pasukan di Etihad menghasilkan 21 jaringan, dengan City menyumbang sembilan dan Spurs 12.
City hanya menang sekali dalam empat perlawanan terakhir di laman sendiri menentang Spurs, namun skuad bimbingan Pep Guardiola tampil meyakinkan ketika menewaskan Wolves 4-0 hujung minggu lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd