SHAH ALAM: Jaringan pemain veteran, Shukor Adan memastikan KL City tidak diaibkan pasukan tercorot, UiTM FC selepas seri 1-1 pada aksi di Stadium UiTM Shah Alam, sebentar tadi.
Bagaimanapun, KL City menjadi pasukan kedua yang menghadiahkan satu mata kepada UiTM FC selepas Penang FC sekali gus membolehkan tuan rumah menghimpun dua mata daripada 13 perlawanan.
Pada aksi terbabit, gol The Lion Troops disumbangkan menerusi percubaan susulan Kwon Yong Hyun selepas tendangan penaltinya terlebih dahulu berjaya ditepis Kevin Mendoza pada minit ke-82.
Ketika UiTM FC hampir mencipta kejutan dan meraih kemenangan sulung musim ini, Shukor menanduk masuk jaringan penyamaan pada masa tambahan separuh masa kedua untuk menjadikan kedudukan 1-1.
Selepas liga kembali bersambung Julai nanti, KL City akan menempah pertembungan ‘Derbi Lembah Klang’ bertemu Selangor FC di laman sendiri sementara UiTM FC berdepan tugas sukar bertemu pendahulu, Johor Darul Ta’zim (JDT).
© New Straits Times Press (M) Bhd




