Ipoh: Lelaki maut selepas motosikal Yamaha RXZ ditunggangnya bertembung dengan sebuah treler di Kilometer 45 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, semalam.
Ketua Polis Daerah Gerik Superintendan Abdul Samad Othman berkata, mangsa Roziman Abu Aziz, 36, dari Baling, Kedah meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Gerik.
“Kejadian berlaku kira-kira jam 9 pagi apabila motosikal mangsa dari arah Gerik ke Jeli hilang kawalan ketika melalui selekoh sebelum terbabas ke laluan bertentangan.
“Mangsa kemudian melanggar bahagian kanan bampar treler dipandu lelaki tempatan berusia 44 tahun,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Abdul Samad berkata, bedah siasat mengesahkan punca kematian disebabkan kecederaan dalaman pada abdomen akibat kemalangan.
Menurutnya, pemandu treler tidak mengalami kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Kejadian berlaku semasa mangsa difahamkan dalam perjalanan ke Perhimpunan RXZ 7.0 di Gong Badak, Kuala Terengganu.
© New Straits Times Press (M) Bhd