am@hmetro.com.my
Kuala Langat: Polis mengesahkan seorang lagi maut selepas dipercayai terbabit kemalangan di Jalan Sultan Sulaiman Shah, Kampung Chodoi, Banting, di sini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Mohd Akmalrizal Radzi berkata, siasatan mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila motokar jenis
Toyota Corolla warna merah dari arah Pantai Morib menghala ke Telok Panglima Garang.
“Apabila tiba di tempat kemalangan dipercayai hilang kawalan masuk ke laluan bertentangan dan terbabas masuk ke dalam parit di bahu jalan lalu melanggar tembok parit terbabit.
“Tiga mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian iaitu pemandu, penumpang hadapan sebelah kiri, dan satu penumpang di bahagian belakang manakala tiga lagi penumpang di bahagian belakang mengalami kecederaan parah dan mendapat rawatan di Unit Kecemasan Hospital Banting.
“Kemudian seorang lagi mangsa yang sedang menerima rawatan di Hospital Banting disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan kira-kira jam 11 pagi. Semua mangsa kejadian adalah berumur lingkungan 16 tahun hingga 19 tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Akmalrizal berkata, siasatan mendapati pemandu kereta adalah seorang remaja berumur 16 tahun dan tiada lesen memandu.
“Siasatan awal mendapati, punca kemalangan dipercayai berpunca daripada pemandu yang mengantuk dan terlelap ketika memandu.
“Kesemua waris mangsa yang terbabit dengan kemalangan, hadir membuat laporan polis dan dirakam percakapan oleh Pegawai Penyiasat. Kes kemalangan ini diklasifikasikan mengikut Seksyen 41(1) APJ 1987.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian kemalangan ini boleh menghubungi mana-mana Balai Polis yang berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor S Taneswaran di talian 012-6708561 atau 03-31872222,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd