Ford lancar WildTrak baharu

Ford lancar WildTrak baharu

lizamridzuan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Sime Darby Auto ConneXion-Ford (Auto ConneXion), semalam, memperkenalkan Ford Ranger WildTrak 3.0L V6 Turbo Diesel baharu, yang menjadi varian paling berkuasa dalam barisan trak pikap jenama itu di Malaysia.

Pengarah Eksekutif, Pasaran Pengedar Ford Asia Pasifik (APDM), Korea & Angkatan Pengangkutan Global, Sami Malkawi berkata. pelancaran model ini menandakan komitmen syarikat memenuhi permintaan pelanggan terhadap kenderaan yang lebih berkuasa dan serba guna.

Beliau berkata, ia sebagai pilihan kepada pengguna yang mahukan prestasi tambahan berbanding enjin 2.0 liter sedia ada.

“Model ini memenuhi keperluan pelbagai segmen sama ada untuk kerja, keluarga mahupun aktiviti rekreasi dan daripada perspektif pasaran, ia juga seiring dengan trend trak pikap yang semakin dilihat sebagai kenderaan gaya hidup,” katanya.

Ford Ranger WildTrak baharu ini dikuasakan enjin V6 turbo diesel 3.0 liter dengan kuasa 250PS dan tork 600Nm dengan transmisi automatik 10 kelajuan serta enam mod pacuan, membolehkan ia menyesuaikan diri dengan pelbagai keadaan jalan.

Daripada sudut rekaan, model ini tampil dengan lampu hadapan matriks LED, roda aloi 20 inci serta lambang V6 pada bahagian luaran.

Kabin dalaman turut dipertingkat dengan skrin sentuh 12 inci berasaskan sistem SYNC 4A, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, selain pengecasan peranti tanpa kabel.

Untuk pasaran Malaysia, Ranger WildTrak 3.0L V6 ditawarkan pada harga RM192,888 di Semenanjung. Ia ditawarkan dengan empat pilihan warna termasuk Luxe Yellow serta Meteor Grey, yang menyasarkan kelompok pembeli muda serta profesional.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top