Laksana program imunisasi secara bersasar

Laksana program imunisasi secara bersasar

fahmy.azril@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) mencadangkan supaya kerajaan melaksanakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) secara bersasar.

Presidennya, Amrahi Buang, berkata ia adalah strategi terbaik yang mana penumpuan pemberian vaksin COVID-19 membabitkan kawasan mempunyai kes kluster.

Selain itu, beliau berkata, pelaksanaan program secara bersasar juga dapat memastikan kelancaran program berkenaan.

“Kelmarin, MPS menyarankan agar program disusun semula dengan pendekatan vaksinasi bersasar kerana pelaksanaannya adalah terlalu perlahan berbanding negara-negara lain di dunia.

“Seterusnya untuk melancarkan lagi program, cadangan untuk melakukan vaksinasi secara bersasar adalah jalan terbaik. Keutamaan adalah kepada kawasan yang mempunyai sumber kluster wabak yang telah dikenal pasti seperti tempat kerja, sekolah, pusat membeli-belah dan kilang di seluruh negara.

“Program vaksinasi hendaklah dilaksanakan melalui pendekatan tersasar dan terancang yang membabitkan sektor swasta seperti syarikat berkaitan kerajaan (GLC), institusi kewangan, institusi pendidikan, kilang dan lain-lain dengan pembabitan semua kementerian yang terbabit,” katanya dalam kenyataan menerusi akaun Facebook, malam ini.

Demi memastikan fungsi program dijayakan, Amrahi berkata, pendekatan dilakukan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk melebarkan pelaksanaan program pelalian itu dalam kalangan pesaranya adalah sangat terpuji.

Sewajarnya, beliau berkata, semua badan berkanun mengikuti langkah sama dan program itu kemudian diselaraskan oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV).

“Mengapa KWAP (Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan) tidak melakukan perkara yang sama sedangkan telah dimaklumkan bahawa pesara perkhidmatan awam akan divaksinasikan dalam Fasa 2 program?

“Begitu juga KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) dan PERKESO (Pertubuhan Keselamatan Sosial). Organisasi-organisasi ini sewajarnya dibabitkan secara aktif dalam perancangan program. Maka semua organisasi lain mesti bersifat proaktif.

“Mengapa pusat jagaan orang tua serta penjaga mereka tidak divaksinasikan hingga sekarang sedangkan ia adalah golongan yang sewajarnya diberikan vaksin di Fasa 2? Begitu juga yang berlaku di pusat dialisis di seluruh negara,” katanya.

Mengulas lanjut, Amrahi berkata, apabila kerajaan memutuskan untuk melaksanakan projek vaksin AstraZeneca secara ‘siapa dulu dia dapat’, maka adalah jelas dan nyata bahawa itu kaedah sewajarnya dilakukan sejak awal pelaksanaan program.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top