redzuan.muharam@hmetro.com.my
Kajang: “Ia bukan hanya pengorbanan, tetapi tanggungjawab dalam menggalas amanah diberikan Allah SWT. Zuriat ini akan dijaga sebaik mungkin,” kata Diana Azlinda Omar, 45, atau mesra disapa Olin.
Dia yang juga bekas pramugari Malaysia Airlines (MAS) sanggup berhenti kerja bagi menumpukan perhatian membesarkan anak sulung berstatus orang kurang upaya (OKU), Sharifah Zara Jasmeen Syed Hafeez, 14, yang berdepan Gangguan Perhatian Defisit Hiperaktif (ADHD), disleksia dan kelewatan perkembangan global (GDD).
Dia yang menamatkan tugas pada 2020, mula berniaga dengan menjual asam pedas di beberapa tempat sekitar bandar ini serta membuka gerai nasi lemak berlauk berhampiran Bandar Saujana Impian di sini dibantu suami, Syed Hafeez Syed Mohammad, 45.
Bagaimanapun, Olin dan suami nekad berhenti berniaga gerai untuk memberi perhatian kepada anaknya itu sambil menerima tempahan menyediakan makanan dari rumah selain berniaga di Lorong Belakang Cyberjaya.
“Cabaran awal berniaga memang banyak kerana saya perlu masak dan membawa anak ke tapak niaga.
“Tapi, kini anak semakin membesar dan memasuki usia remaja…walaupun boleh menguruskan diri, namun emosinya tak stabil. Jadi, tak sesuai lagi nak berniaga di tepi jalan kerana masa saya banyak dihabiskan dengan memasak dan menjual,” katanya ketika ditemui di tapak niaga, dekat Bandar Baru Saujana Impian, di sini.
Menurut Olin, bukan hanya anak sulung, malah yang (anak) kedua, Syed Zacharee Syed Hafiz, enam tahun, juga perlu diberi perhatian kerana berdepan masalah gangguan pernafasan dan mata.
Katanya, banyak janji temu di hospital yang perlu dihadiri bagi merawat anaknya.
Olin percaya dengan rezeki ditetapkan Allah SWT dan tidak menyesali keputusannya kerana apa pun, kebajikan dan keperluan anak yang perlu diberi keutamaan.
“Memang ada terfikir nak berhenti (berniaga)…tapi setiap kali nak berhenti ada saja rezeki masuk contohnya dapat tempahan katering dan peluang sewa tapak niaga dalam acara.
“Terima kasih sangat saya ucapkan kepada mereka (pelanggan), kawan termasuk rakan sekerja waktu di syarikat penerbangan dulu selain saudara mara yang pernah sokong dan datang membeli,” katanya yang pernah berdepan ujian hingga rumah didiami hampir dilelong.
Olin berharap urusannya dan suami dipermudahkan serta diberi kesihatan baik kerana hanya mahu mencari rezeki demi membesarkan dua anak.
Selain berniaga dan mengambil tempahan katering, Olin dan suami sudah ada perancangan jangka panjang, salah satunya mengeluarkan pes asam pedas bagi memudahkan pelanggan menyediakan masakan di rumah.
“Kami nak keluarkan pes itu kerana ada dapat permintaan daripada orang luar Lembah Klang yang teringin nak rasainya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




