Hokkaido: Seorang juruterbang dipercayai gagal berkomunikasi dengan kawalan trafik udara hingga menyebabkan insiden serius di Jepun, 20 Julai lalu, lapor kementerian pengangkutan negara berkenaan.
Menurut media Independent, Pesawat All Nippon Airways (ANA) yang membawa 74 penumpang dan anak kapal mendarat di Lapangan Terbang Wakkanai, Hokkaido, ketika sebuah kenderaan kerja masih berada di landasan.
Menurut pegawai, pesawat itu menukar laluannya sejurus sebelum tiba bagi mengelak awan kumulonimbus, namun juruterbang gagal memaklumkan perubahan kepada kawalan trafik udara.
Katanya, awan kumulonimbus adalah awan besar berwarna gelap yang berpotensi menghasilkan hujan batu, guruh dan kilat.
Kementerian Pengangkutan Jepun melabelkan kejadian itu sebagai ‘insiden serius’ dan menegaskan ia boleh mudah bertukar menjadi kemalangan, lapor The Japan Times.
Pesawat Bombardier DH8-400 itu beroperasi sebagai ANA Flight 4841 membawa 74 penumpang dan anak kapal dari Lapangan Terbang New Chitose berhampiran Sapporo.
Ketika pesawat mendarat kira-kira 11.20 pagi waktu tempatan, sebuah kenderaan di landasan yang ditugaskan bagi pencegahan serangan burung masih dalam proses meninggalkan kawasan itu.
Dalam pada itu, kementerian pengangkutan menambah, pesawat penumpang itu memasuki landasan tanpa kebenaran sewajarnya daripada kawalan trafik udara.
“Pihak berkuasa mengesahkan tiada kecederaan atau kerosakan berlaku.
“Siasatan dijalankan untuk mengenal pasti punca kegagalan mematuhi protokol keselamatan,” katanya kepada media tempatan.
Sementara itu, Lembaga Keselamatan Pengangkutan Jepun pula menghantar dua penyiasat bagi meneliti punca kegagalan komunikasi antara kru penerbangan dan kawalan trafik udara.
The Independent melaporkan syarikat ANA dihubungi untuk mendapatkan komen.
© New Straits Times Press (M) Bhd