Pasukan pengurusan TH kekal 100 peratus Bumiputera Muslim

Pasukan pengurusan TH kekal 100 peratus Bumiputera Muslim

Kuala Lumpur: Lembaga Tabung Haji (TH), institusi pengurusan haji komprehensif negara menegaskan bahawa pengurusan operasinya ditadbir urus dan dikendalikan sepenuhnya oleh pasukan pengurusan Bumiputera Muslim.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Mustakim Mohamad berkata, TH sedang melaksanakan inisiatif penjenamaan untuk memperkasakan semula peranannya sebagai institusi simpanan kewangan Islam yang dihormati supaya umat Islam dapat mengembangkan simpanan mereka dan menunaikan ibadat haji.

“Kebelakangan ini, TH lebih dikenali bagi perkhidmatan haji dan pada masa yang sama, kos mengerjakan haji kian meningkat tetapi kadar simpanan pendeposit tidak berkembang dan kebanyakan pendeposit tidak mempunyai simpanan yang cukup untuk mengerjakan ibadat haji.

“Bagi menangani masalah ini, TH sedang melaksanakan inisiatif penjenamaan untuk memperkasakan TH sebagai institusi simpanan Islam pilihan di mana umat Islam kekal menabung secara sistematik dan konsisten,” katanya dalam kenyataan di sini.

Mustakim berkata, bagi mencapai matlamat penjenamaan itu, TH memerlukan kepakaran teknikal yang bersesuaian dan amalan itu adalah sama seperti contoh-contoh daripada sejarah Islam.

“Pengurusan TH dan urusan ibadat haji tetap dikendalikan oleh pasukan pengurusan yang 100 Bumiputera Muslim, tetapi pelbagai sokongan teknikal diperlukan bagi inisiatif penjenamaan yang kompleks ini dan dibekalkan oleh konsortium yang dibentuk oleh TH,” katanya.

Mustakim berkata, TH perlu menjadi sebuah institusi simpanan yang berpaksikan pelanggan dan ini memerlukan evolusi strategi operasi dan jenama yang relevan, efektif dan bersesuaian dengan perubahan demografi yang dinamik.

TH menasihati orang ramai supaya tidak mempercayai sebarang maklumat yang tidak dipastikan kesahihan sumbernya dan mengikuti saluran media sosial rasmi TH untuk mendapatkan info tepat dan sahih.

Menurut TH, hantaran video dengan provokasi dan tuduhan melulu kepada organisasi itu terutama berkaitan inisiatif penjenamaan dan tadbir urus yang tidak tepat boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat umum.

“TH memandang serius perkara ini dan sedang melaksanakan pemantauan rapat terhadap sebarang hantaran di media sosial, sama ada video atau penulisan yang cuba menghasut masyarakat dengan maklumat tidak benar yang boleh mencemarkan imej TH,” menurut kenyataan itu.

TH memaklumkan pihaknya sudah membuat laporan polis dan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) susulan penyebaran beberapa video berunsur fitnah dan hasutan di laman sosial.

TH akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam menyalurkan maklumat bagi melengkapkan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana individu dan pemilik akaun media sosial yang membuat hantaran berunsur hasutan mengikut lunas undang-undang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top