MAIS puji tindakan pantas JAIS tangani kes rasuah kakitangan

MAIS puji tindakan pantas JAIS tangani kes rasuah kakitangan

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menyokong tindakan tegas serta pantas Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) atas aduan awam berhubung dakwaan salah laku rasuah yang membabitkan kakitangan jabatan itu.

Pengerusi MAIS, Datuk Salehuddin Saidin berkata, tindakan JAIS melaporkan terus aduan salah laku itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak berkuasa menunjukkan ketegasan jabatan dalam memastikan setiap pegawai mematuhi prinsip integriti dan amanah yang tinggi.

“MAIS menegaskan budaya rasuah tidak mempunyai tempat dalam pentadbiran Islam. MAIS memandang serius sebarang salah laku yang melibatkan integriti dan akan bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa bagi memastikan tindakan sewajarnya diambil.

“MAIS menyeru kepada orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan sebarang salah laku rasuah dan penyalahgunaan kuasa untuk terus melaporkan kepada MAIS, JAIS dan pihak berkuasa yang berkaitan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, MAIS sentiasa komited memastikan dan meningkatkan tadbir urus yang berintegriti dan telus dalam melaksanakan amanah mengurus hal ehwal Islam di negeri ini.

Kelmarin, media melaporkan, seorang pembantu hal ehwal JAIS dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan rasuah berjumlah RM8,000 bagi mengurangkan bayaran kompaun sebuah syarikat yang disiasat bahagian pengurusan halal, dua tahun lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top