Pelancong dikecam selepas dakwa Singapura tidak wujud tanpa China

Pelancong dikecam selepas dakwa Singapura tidak wujud tanpa China
Orang ramai berjalan di tepi sungai berhampiran kawasan pusat kewangan di Singapura. -AFP

Orang ramai berjalan di tepi sungai berhampiran kawasan pusat kewangan di Singapura. -AFP

SINGAPURA – Seorang pelancong wanita menerima kecaman hebat di media sosial selepas tular rakaman video yang memaparkannya didakwa memotong barisan di Universal Studios Singapore sambil mengeluarkan kenyataan kontroversi, “Kalau bukan kerana China, tiada Singapura.”

Rakaman tersebut dimuat naik oleh pengguna TikTok, @lunachloe0573, dan telah ditonton lebih 42,000 kali. Video itu menunjukkan wanita berkenaan bersama seorang bayi dipercayai bertindak memintas sepasang suami isteri bersama tiga anak.

Wanita itu turut bertindak merakam pasangan terbabit sambil menyindir bahawa mereka bukan satu-satunya yang boleh mengambil video.

Dia kemudian dilapor berkata dalam bahasa Mandarin: “Apa salahnya orang China? Adakah mereka memalukan kamu? Kalau bukan kerana China, tiada Singapura,” menurut laporan The Independent.

Kenyataan itu mencetuskan kemarahan dalam talian apabila ramai warganet mengecam tingkah lakunya.

Seorang pengguna menulis: “Apabila melancong ke sini, anda perlu patuh kepada peraturan tempatan. Bila berada di Rom, ikutlah cara orang Rom. Di Singapura, anda mesti beratur.”

Seorang lagi menambah: “Sungguh memalukan untuk keluarga itu! Tolong jangan pengaruhi anak-anak dengan sikap angkuh anda.”

Namun, ada juga pengguna yang menyeru supaya semua pihak bertenang. “Ini perkara kecil sahaja, hidup ini singkat. Kedua-dua pihak perlu tahu memaafkan,” tulis seorang warganet.

Susulan kejadian itu, pihak Resorts World Sentosa selaku pengendali Universal Studios Singapore pada 20 Ogos lalu mengeluarkan kenyataan menekankan nilai “kesopanan, saling menghormati dan etika beratur.”

Pihak pengurusan menegaskan insiden berkenaan telah diselesaikan. -Agensi

Scroll to Top