Melaka: Ketua Hakim Negara Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh mendahului senarai penerima darjah, bintang dan pingat kebesaran Melaka sempena Sambutan Hari Jadi ke-76 Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam di Seri Negeri, di sini, hari ini.
Beliau menerima Darjah Utama Negeri Melaka (DUNM) yang membawa gelaran Datuk Seri Utama.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing dan Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar menerima Darjah Gemilang Seri Melaka (DGSM) yang membawa gelaran Datuk Seri.
Antara penerima Darjah Cemerlang Seri Melaka (DCSM) yang membawa gelaran Datuk Wira ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Azhar Arshad, Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Datuk Aniz Rizana Mohd Zainudin, Naib Canselor Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Lt Jeneral Datuk Arman Rumaizi Ahmad.
Penerima lain ialah Pengerusi Badan Amal Kasih Ibu Putrajaya Datuk Seri Anggraini Sentiyaki, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Plaza Premium Lounge Datuk Song Hoi See dan CEO SME Development Bank Datuk Dr Mohammad Hardee S.N. Ibrahim.
Sementara itu, antara penerima Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk ialah Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Dr Shahnaz Sulaiman, Duta Besar Malaysia ke Persekutuan Rusia Datuk Cheong Loon Lai, Ketua Polis Kedah Datuk Adzli Abu Shah dan Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad.
Selain itu, turut menerima DMSM ialah pensyarah Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Prof Madya Datuk Dr Mohd Shahrir Mohd Sani, Presiden dan CEO Bank Muamalat Malaysia Bhd Datuk Khairul Kamarudin, Pengarah MSR Green Energy Sdn Bhd Datuk Tarminder Singh Balwant Singh dan Pengarah Urusan Les’ Copaque Production Sdn Bhd Datuk Burhanuddin Md Radzi.
Antara individu menerima Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang membawa gelaran Datuk ialah Duta Besar Malaysia ke Algeria Datuk Rizany Irwan Muhamad Mazlan, Penasihat Undang-Undang Negeri Melaka Datuk Khairul Azreem Mamat, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai Datuk Siti Faizah Abdul Azis dan ADUN Pantai Kundor Datuk Tuminah Kadi@Mohd Hashim.
Turut menerima DPSM ialah Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan III, Jabatan Peguam Negara Datuk Kamal Baharin Omar, bintang antarabangsa yang juga Duta Setiakawan Pelancongan Melaka 2024 Datuk Fan Bingbing dan Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima Bhd Datuk Mohd Rafiq Mat Razali.
Selain itu, Mohd Ali turut mentauliahkan Jaksa Pendamai (J.P) kepada bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Ismail Salleh, bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka Datuk Ismail Othman dan bekas Ahli Parlimen Kota Melaka Datuk Wong Nai Chee.
Secara keseluruhan, sebanyak 93 penerima dianugerahkan Darjah Seri Melaka (DSM), 159 penerima Bintang Cemerlang Melaka (BCM), 233 penerima Bintang Khidmat Terpuji (BKT), 138 penerima Pingat Bakti Masyarakat (PBM) dan enam penerima Pingat Khidmat Lama (PKL).
© New Straits Times Press (M) Bhd