MUFT azam bangkit hapus rekod buruk, sedia tumpas Seoul Phoenix

MUFT azam bangkit hapus rekod buruk, sedia tumpas Seoul Phoenix
MUFT akan berdepan Seoul Phoenix dalam aksi Liga A1 Semi-Pro di Stadium INSPEN, Kajang. Foto FB MUFT

MUFT akan berdepan Seoul Phoenix dalam aksi Liga A1 Semi-Pro di Stadium INSPEN, Kajang. Foto FB MUFT

MALAYSIAN University Football Team (MUFT) bertekad menamatkan rentetan dua kekalahan awal Liga A1 Semi-Pro apabila melayan kunjungan kelab jemputan Korea Selatan, Seoul Phoenix FC di Stadium INSPEN, Kajang.

Pengendali MUFT, Mohd Yazli Yahya mengakui keputusan tanpa sebarang mata setakat ini cukup sukar diterima, namun prestasi skuad mudanya semakin positif selepas mula berlatih sepenuhnya sebagai satu pasukan.

“Dua perlawanan tanpa mata memang berat, tetapi selepas Liga IPT berakhir dua minggu lalu, kami sudah fokus penuh berlatih bersama.

“Dalam aksi pertama Pusingan 16 Piala FA menentang Selangor FC tempoh hari, walaupun kalah 1-3, kualiti permainan meningkat dan pasukan mula mendapat sentuhan jaringan,” katanya kepada Sukan Sinar.

Mengulas lawan yang mengejutkan JDT II dengan kemenangan 1-0, Yazli mengakui Seoul Phoenix hadir dengan barisan berkualiti namun yakin MUFT mampu menyaingi mereka.

“Kami tahu kekuatan mereka, tetapi ketika lawan JDT II tempoh hari, ada ruang yang boleh kami manfaatkan untuk mencari jaringan,” ujarnya.

Dalam masa sama, Yazli turut memberi penekanan kepada aspek mental dan motivasi pemain supaya tidak mudah goyah walaupun berdepan cabaran getir di awal saingan liga.

“Majoriti pemain MUFT adalah pelajar jurusan Sains Sukan, mereka faham apa yang perlu dilakukan dalam situasi begini.

“Sepanjang minggu latihan, saya lihat mereka berikan sepenuh komitmen dan benar-benar mahu bangkit sebagai pasukan lebih baik dari semasa ke semasa,” tegasnya.

Scroll to Top