
Ramai anggota unit infantri Zionis membunuh diri selepas kembali dari operasi di Gaza.
KHAN YUNIS – Seorang komander platun yang memimpin briged infantri terbesar Pasukan Pertahanan Israel (IDF) terbunuh selepas bom milik askar Zionis meletup secara tiba-tiba ketika serangan dilancarkan di selatan Genting Gaza.
Rangkaian media Israel pada Sabtu melaporkan kejadian itu menimpa Leftenan Oro Gerlic, 20, yang berkhidmat dalam Batalion Shimshon Briged Kfir.
“Letupan itu membunuh Gerlic di bandar Khan Yunis ketika operasi menggempur sasaran yang didakwa milik pejuang Hamas,” ujar laporan tersebut.
Kematiannya didedahkan meskipun IDF mengenakan tapisan yang ketat terhadap berita mengenai anggota mereka yang terkorban dalam perang genosid tersebut.
Zionis mengumumkan ia telah melancarkan siasatan terhadap insiden itu yang disebut sebagai ‘kemalangan operasi’.
IDF mendakwa sekurang-kurangnya 899 askar mereka maut sejak Oktober 2023, namun angka sebenar dipercayai jauh lebih tinggi selain terdapat laporan yang mendakwa ramai tentera IDF yang membunuh diri setelah kembali dari menyertai kempen ketenteraan di Gaza.
Pada Mei lalu, akhbar Haaretz mendedahkan kira-kira 42 askar Zionis bertindak mengakhiri hidup sendiri dipercayai kerana mengalami trauma yang teruk.
Majoriti anggota tempur IDF mengalami keletihan fizikal, mental dan emosi yang melampau serta kecewa dengan objektif operasi ketenteraan yang tidak jelas setelah peperangan tanpa hala tuju yang sudah berlarutan selama hampir dua tahun. – Agensi