KEMENANGAN bergaya 3-0 ke atas Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dalam aksi minggu ketiga Liga A1 Semi Pro 2025/2026 menjadi pemangkin semangat buat skuad Imigresen FC II (IFC II) untuk tampil sebagai pencabar utama musim ini.
Perlawanan yang berlangsung di Stadium Mini Majlis Perbandaran Kubang Pasu (MPKP) pada Sabtu menyaksikan IFC II bangkit selepas dua perlawanan terdahulu yang menyaksikan mereka sekadar meraih satu mata selepas seri 1-1 menentang Manjung City FC dan tewas 0-3 kepada Armed Forces FC.
Pengendali IFC II, Azlan Ahmad berkata, kemenangan itu adalah hasil kerja keras dan persiapan intensif selama dua minggu selepas kekalahan kepada Armed Forces.
“Saya bersyukur kerana pemain menunjukkan semangat juang tinggi. Kami datang ke Jitra dengan misi jelas untuk bangkit dan mencari kemenangan pertama. Alhamdulillah, perancangan kami berhasil,” katanya selepas tamat perlawanan.
Menurut Azlan, fokus utama pasukan adalah memperkukuh barisan pertahanan dan serangan, yang akhirnya membuahkan hasil dengan tiga jaringan dalam satu perlawanan.
“Saya harap momentum ini dapat diteruskan. Kami mahu buktikan bahawa IFC II bukan sekadar pelengkap jadual, tetapi pencabar yang serius dalam Liga A1 Semi Pro,” ujarnya.
Dalam perlawanan tersebut, IFC II membuka tirai jaringan menerusi pemain import, Said Khamis, pada masa tambahan babak pertama.
Gol kedua hadir melalui sepakan voli Hafiz Kamal pada minit ke-54, sebelum Mohammad Norzaiful melengkapkan kemenangan dengan rembatan kencang pada minit ke-63.
Dengan kemenangan tersebut, IFC II melonjak ke tangga ketiga carta liga dengan empat mata terkumpul, manakala KDA FC jatuh ke tangga ke-11 dengan tiga mata setakat ini.
Aksi seterusnya dijangka lebih mencabar, namun Azlan menegaskan bahawa pasukannya kini berada dalam landasan yang betul untuk terus memberi saingan.
“Kami akan terus bekerja keras dan kekalkan disiplin. Liga ini panjang, dan kami mahu terus konsisten,” katanya.
Sementara itu, Ketua Jurulatih KDA FC, Azzmi Aziz mengakui kekalahan skuadnya sebagai satu proses pembelajaran buat barisan pemain muda yang baru menyertai saingan liga musim ini.
“Kami dibezakan dengan pengalaman. Pemain sudah berusaha sebaik mungkin, tetapi masih ada ruang yang perlu diperbaiki, terutama di bahagian serangan,” katanya.