Isteri Erdogan tulis surat kepada Melania Trump

Isteri Erdogan tulis surat kepada Melania Trump
Emine Erdogan (kiri) menulis surat kepada Melania Trump pada Sabtu. Foto Agensi

Emine Erdogan (kiri) menulis surat kepada Melania Trump pada Sabtu. Foto Agensi

ANKARA – Wanita Pertama Turkiye menulis surat kepada isteri Presiden Amerika Syarikat (AS), Melania Trump pada Sabtu bagi meminta beliau menzahirkan empati terhadap nasib kanak-kanak di Gaza seperti yang ditunjukkan kepada golongan itu di Ukraine.

Emine Erdogan berharap pasangan Donald Trump itu akan menghantar surat kepada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu supaya mempamerkan belas kasihan kepada kanak-kanak Palestin di Gaza.

“Saya percaya keprihatinan yang dizahirkan anda terhadap 648 kanak-kanak yang terkorban di Kiev akan ditunjukkan juga kepada Gaza. Dalam tempoh hampir dua tahun, lebih 62,000 orang awam tidak berdosa termasuk 18,000 budak telah dibunuh dengan kejam.

“Sebagai seorang ibu, saya berkongsi sentimen yang sama dan berharap anda memberikan harapan serupa kepada kanak-kanak di wilayah tersebut yang turut mendambakan kedamaian serta ketenteraman,” menurut kandungan warkah itu.

Menerusi surat dikirimkan kepada Presiden Rusia, Vladimir Putin ketika sidang kemuncak bersama suaminya, baru-baru ini, Melania merayu kepadanya supaya berdamai dengan Ukraine demi kanak-kanak yang terkesan konflik bersenjata tersebut.

Sebelum ini, Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan pernah cuba menjadi perantara proses damai antara Moscow dan Kiev.

Pada Selasa lalu, Erdogan dengan lantang mendakwa Israel menggunakan kelaparan sebagai senjata di Gaza dan situasi di enklaf itu disifatkan lebih teruk berbanding ‘kem Nazi’. – AFP

Scroll to Top