Kuala Lumpur: Umat Islam dan komuniti antarabangsa perlu terus berusaha tanpa putus asa dalam memberi tekanan kepada Israel untuk menghentikan kezaliman terhadap Palestin, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata kekejaman yang berlaku di bumi Palestin merupakan satu ujian besar buat seluruh umat Islam dan pencinta keamanan di seluruh dunia.
“Kita mesti terus mengorak langkah… jangan rasa terbeban untuk melangkah… ya, memang melelahkan, kadang-kadang mengecewakan, kadang-kadang rasa tiada harapan… percayalah dengan pertolongan Allah,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian ketika menyampaikan syarahan khas solidariti ‘Malaysiaku Bersama Gaza’ di Malam Himpunan dan Selawat Malaysiaku Bersama Gaza di Dataran Merdeka malam ini yang disertai oleh ribuan umat Islam.
Turut hadir Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Hadir sama Ketua Pengarah Sumud Nusantara merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cinta Gaza Malaysia Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman dan CEO Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby.
© New Straits Times Press (M) Bhd