IPOH: DAP tidak pernah berhasrat mahu menjalin kerjasama politik dengan MCA seperti yang didakwa oleh sebahagian pemimpin parti berkenaan.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, kerjasama secara tidak langsung dengan MCA ketika ini sekadar mengikut kerangka kerajaan Perpaduan antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
“Pertamanya, kita pun tidak pernah cakap hendak kerjasama dengan mereka. Jangan perasan sangat bahawa DAP hendak bekerjasama dengan mereka. Kita bekerjasama dalam kerangka kerajaan Perpaduan.
“Respon saya kepada MCA mudah sahaja, anda hendak buat apa pun keputusan, anda punya hal.
“Kita tidak pernah cakap hendak kerjasama dengan mereka. Jangan perasan sangat seolah-olah kita ini tidak boleh hidup tanpa mereka,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada Jamuan Makan Malam DAP Perak di Pusat Konvensyen Ipoh, di sini malam ini.
Hadir sama, Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP, Nga Kor Ming dan Pengarah Pilihanraya DAP, Wong Kah Woh.
Anthony berkata demikian apabila ditanya mengenai laporan berita tentang kesukaran MCA untuk berkerjasama dengan DAP
Loke berkata, isu membabitkan MCA itu harus ditangani oleh dalaman BN sendiri.
Jelasnya, hal demikian bercanggah dengan pemimpin UMNO yang berada Kabinet, yang dilihat memberikan komitmen hendak memperkuatkan kerajaan Perpaduan.
“Tetapi saya lihat pemimpin MCA suka bagi kenyataan yang bercanggah. Mungkin mereka rasa tak menjadi sebahagian daripada kerajaan ini. Terpulang kepada mereka,” katanya.
Tambah beliau, DAP kini lebih menumpukan kepada memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dan soal pilihan raya akan diberikan perhatian apabila sudah hampir masanya. – UTUSAN