
Salah satu watak dalam animasi berkenaan. Agensi
JAKARTA – Filem animasi Indonesia, Merah Putih: One for All yang mula ditayangkan pada 14 Ogos lalu mencatatkan prestasi mengecewakan apabila hanya menerima penilaian 1.0 daripada 10 di laman pangkalan data filem antarabangsa, IMDb.
Hanya sekitar 1,500 penonton hadir ke pawagam selepas beberapa hari tayangan, jauh ketinggalan berbanding Demon Slayer: Infinity Castle yang ditonton lebih 1.2 juta orang dalam tempoh sama.
Setakat ini, sebanyak 81 ulasan dimuat naik pengguna IMDb terhadap Merah Putih: One for All, hampir semuanya berbentuk kritikan keras.
Seorang penonton menulis: “Jika boleh memberi markah sifar, saya akan lakukan tanpa ragu. Filem ini langsung tidak memenuhi jangkaan, malah merosakkan imej animasi Indonesia.”
Filem terbitan Perfiki Kreasindo dengan arahan Endiarto dan Bintang Takari itu dikritik hebat kerana mutu visual yang dianggap rendah, malah ada yang menyamakan kualitinya dengan animasi era 1980-an.
Jalan cerita, muzik latar serta dialog turut dipertikai kerana dianggap tidak konsisten dan dipaksa-paksa.
Selain itu, timbul dakwaan filem berkenaan dihasilkan dengan bajet sekitar 6.7 bilion rupiah (RM1.7 juta) dan disiapkan dalam tempoh kurang tiga bulan.
Ia turut berdepan tuduhan penggunaan aset rekaan watak serta lokasi tanpa izin, selain ada dialog yang dikatakan dihasilkan dengan bantuan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Merah Putih: One for All mengisahkan sekumpulan lapan kanak-kanak daripada latar budaya berbeza yang bergabung mencari semula bendera pusaka yang hilang bagi memastikan ia dapat dikibarkan sempena sambutan Hari Kemerdekaan pada 17 Ogos.
Dalam usaha tersebut, mereka berdepan pelbagai cabaran termasuk haiwan liar, kuil purba terbiar, ribut serta halangan berbahaya lain. – Agensi