Ops Noda: 5 ditahan promosi seks dalam MiChat

Ops Noda: 5 ditahan promosi seks dalam MiChat

am@hmetro.com.my

Lahad Datu: Lima individu termasuk dua remaja perempuan ditahan selepas disyaki terbabit kegiatan pelacuran melalui aplikasi MiChat dalam serbuan Ops Noda di sebuah hotel di sini, malam tadi.

Semua yang ditahan dalam operasi jam 9.30 malam itu terdiri daripada tiga lelaki dan dua remaja perempuan, masing-masing berusia 18 tahun.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, siasatan awal mendapati kegiatan tidak bermoral itu dipercayai aktif sejak Mei lalu dengan menggunakan aplikasi MiChat bagi mencari pelanggan.

“Bayaran yang dikenakan antara RM150 hingga RM300 bagi setiap langganan.

“Polis turut merampas telefon pintar, kondom, resit hotel dan kunci bilik yang dipercayai digunakan dalam kegiatan ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 372A/372B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun serta denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

“Kes turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun serta sebatan sehingga enam kali,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top