Polis mohon MCMC kesan pemilik akaun FB kongsi video budak kejar kereta ibu

Polis mohon MCMC kesan pemilik akaun FB kongsi video budak kejar kereta ibu

rnoraina@hmetro.com.my

Serdang: Polis mengesan pemilik akaun Facebook yang memuat naik rakaman video seorang kanak-kanak mengejar kereta dipandu ibu selepas dikatakan tertinggal di Seri Kembangan, 20 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, pihaknya sudah mengemukakan permohonan itu kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).

“Permohonan laporan profiling (pemprofilan) pemilik akaun Facebook sudah dibuat dan masih dalam tindakan MCMC.

“Buat masa ini seramai dua individu diambil keterangan bagi membantu siasatan,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata, polis juga masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu.

Terdahulu, polis mengesahkan menerima laporan dibuat seorang wanita berusia 37 tahun berhubung klip video tular berdurasi satu minit sembilan saat membabitkan dirinya dan anak.

Dalam kejadian 12 tengah hari itu, pengadu mengambil anak kembarnya daripada sekolah rendah di Seri Kembangan.

Muhamad Farid dilaporkan berkata, pengadu yang menaiki sebuah kereta menyedari ketiadaan seorang anaknya semasa membuat pusingan U di hadapan sekolah berkenaan.

Beliau dipetik berkata, pengadu terus memberhentikan kenderaan apabila melihat anaknya mengejar daripada belakang.

Kes disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top