Jeddah: Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) menegaskan bahawa pengisytiharan kebuluran merupakan amaran kritikal mengenai krisis kemanusiaan, politik dan undang-undang pelbagai dimensi, sekali gus memerlukan campur tangan antarabangsa yang segera serta luar biasa, lapor Agensi Berita Qatar (QNA).
OIC menggesa pelaksanaan semua protokol kecemasan antarabangsa yang tersedia bagi memudahkan penghantaran bantuan kemanusiaan dan makanan dengan pantas, selamat dan tanpa halangan kepada orang awam yang terjejas di Semenanjung Gaza.
Dalam satu kenyataan, OIC menekankan keperluan untuk merujuk situasi berkaitan jenayah akibat sekatan dan kebuluran yang disengajakan oleh Israel, serta kebuluran yang berlaku di Gaza ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).
OIC turut menggesa masyarakat antarabangsa supaya menunaikan tanggungjawab undang-undang, politik dan moral dengan mengambil tindakan tegas, termasuk mengenakan sekatan terhadap Israel selaku kuasa pendudukan, menghentikan bekalan atau pemindahan peralatan ketenteraan kepada rejim itu, serta memperkukuh mekanisme keadilan antarabangsa bagi memastikan Israel bertanggungjawab atas pelanggaran undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Selain itu, OIC sekali lagi menyeru masyarakat antarabangsa supaya menekan rejim Israel menghentikan segera semua bentuk pencerobohan dan kepungan di Semenanjung Gaza.
Ini termasuk membuka semua lintasan sempadan, memastikan aliran bantuan kemanusiaan yang berterusan dan mencukupi, serta membolehkan agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu seperti UNRWA bersama pertubuhan antarabangsa lain beroperasi tanpa gangguan bagi memenuhi keperluan mendesak penduduk Gaza.
OIC menekankan perlunya masyarakat antarabangsa bertindak secara bertanggungjawab terhadap laporan Integrated Food Security Phase Classification (IPC) yang disokong PBB, yang mendedahkan kebuluran sedang merebak di seluruh Gaza.
OIC menganggap Israel bertanggungjawab sepenuhnya terhadap jenayah ini dan akibatnya, dengan menganggapnya sebagai hasil langsung daripada jenayah kebuluran, pengepungan haram, pemusnahan sistematik dan penafian akses bantuan, yang kesemuanya merupakan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd