Kuala Lumpur: Malaysia mengecam keras rancangan Israel untuk menguasai Gaza, menyifatkannya sebagai satu bentuk penjajahan moden dan “satu penghinaan terhadap usaha diplomatik semua pihak”.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, rancangan itu menandakan peningkatan berani terhadap cita-cita sekian lama Israel untuk menduduki tanah Palestin.
“Laporan rancangan pengambilalihan tentera Israel ke atas Gaza adalah keterlaluan. Apa yang mereka rancangkan kini ialah satu peningkatan berani terhadap hasrat sekian lama mereka untuk menduduki tanah Palestin secara kekal.
“Ini adalah penjajahan moden, dan satu penghinaan terhadap usaha diplomatik semua pihak,” katanya ketika menyampaikan kenyataan Malaysia pada Mesyuarat Luar Biasa Majlis Menteri-Menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Jeddah, Arab Saudi pada Isnin.
Beliau berkata, walaupun pelbagai pihak telah membuat percubaan mengantara secara ikhlas, Israel bukan sahaja enggan mematuhi gesaan untuk keamanan atau gencatan senjata, malah mengabaikan seruan berulang kali untuk melindungi orang awam, membenarkan pemindahan selamat, dan memudahkan bantuan kemanusiaan.
“Kami minta mereka jangan mencederakan orang awam. Mereka mengebom kawasan perumahan, sekolah dan hospital. Kami minta mereka benarkan orang awam berpindah ke kawasan selamat.
Mereka mengebom zon pemindahan.
“Kami minta mereka benarkan bantuan kemanusiaan masuk. Mereka menyerang pihak yang membawa bekalan, memutuskan penghantaran bantuan, dan membiarkan seluruh Gaza kebuluran,” katanya.
Beliau menegaskan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah secara rasmi mengisytiharkan Gaza mengalami kebuluran, dengan kadar kekurangan zat makanan yang teruk, ketiadaan akses kepada makanan dan angka kematian yang semakin meningkat.
Mohamad berkata, Malaysia seperti banyak negara lain dalam komuniti antarabangsa, telah menyalurkan bantuan melalui Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) dan saluran lain untuk meringankan penderitaan rakyat Palestin, namun usaha itu terus dihalang rejim berkenaan.
Beliau memberi amaran bahawa kekejaman dilakukan oleh tentera pendudukan Israel sepanjang dua tahun lalu hanyalah permulaan.
“Israel telah nyatakan dengan jelas ia tidak akan bekerjasama. Dan biar saya jelaskan: Mereka tidak akan berhenti.
“Cita-cita Israel sentiasa tentang peluasan wilayah. Kita tahu bahawa konsep ‘Israel Raya’ bukan sesuatu yang baharu. Ia sentiasa menjadi dasar nasional Israel, merampas tanah sekeliling untuk membina penempatan haram, serta dengan ganas menyingkirkan sesiapa sahaja yang menghalang,” katanya.
Mohamad turut memberi amaran bahawa keganasan Israel yang bermula dengan Palestin tidak akan berakhir di situ, kerana ia akan terus meluas, merampas tanah di seluruh rantau itu serta menakut-nakutkan pengkritiknya.
“Tetapi masih ada masa untuk anggota ummah menyelamatkan mereka yang memerlukan.
Suatu hari nanti, apabila sebuah Negara Palestin merdeka wujud dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negaranya, kita akan tahu bahawa umat Islam di seluruh dunia telah menjadikannya kenyataan. Tetapi kita mesti terus bersuara, setiap hari, sehingga keamanan dan keadilan akhirnya hadir ke Palestin,” katanya.
Sejak Oktober 2023, lebih 62,000 rakyat Palestin maut dalam serangan ganas Israel di Gaza. Kempen ketenteraan itu turut memusnahkan wilayah berkenaan yang kini berdepan kebuluran.
© New Straits Times Press (M) Bhd