Hujan, angin kencang sebabkan pokok tumbang di Selangor

Hujan, angin kencang sebabkan pokok tumbang di Selangor

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Hujan lebat dan angin kencang malam ini mengakibatkan pokok tumbang di beberapa kawasan di Selangor.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian di Persiaran Hamzah Alang, Meru, Klang; Taman Muhibah, Bestari Jaya dan Jalan Cempaka 2A/2, Bukit Sentosa antara 9.58 malam hingga 10.19 malam.

“Di Meru, terdapat pokok tumbang dan menghalang jalan raya, manakala di Bestari Jaya, pokok kelapa menghalang jalan di kawasan perumahan taman.

“Di Bukit Sentosa juga pokok tumbang menghalang jalan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kerja pemotongan dan pengalihan pokok segera dijalankan anggota bomba selepas panggilan.

Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia melaporkan amaran ribut petir di beberapa negeri sehingga 1 pagi ini.

Negeri itu adalah Pahang (Jerantut), Selangor (Kuala Selangor, Klang, Kuala Langat dan Sepang), Sarawak (Limbang) dan Sabah Pedalaman (Nabawan), Tawau dan Sandakan (Tongod).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top