harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Lelaki tempatan ditahan bersama 24 kilogram (kg) dadah pelbagai jenis bernilai hampir RM1 juta, yang dirampas dalam dua serbuan di Lembah Klang, Rabu lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, serbuan pertama dijalankan di sebuah residensi di sini, pada 6.15 petang yang menemukan dua ketulan mampat heroin base seberat 741 gram (g).
“Susulan itu Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah kereta jenis Toyota Vios yang diletakkan di kawasan Taman Perumahan, Taman Segar, Cheras Selangor.
“Polis menemui satu guni dan beg kain berisi lapan ketulan mampat disyaki heroin base dianggarkan 3kg,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, pihak polis turut menemukan 20 bungkusan teh Cina disyaki mengandungi syabu dianggarkan seberat 20.5kg.
Katanya, suspek berusia 29 tahun itu dipercayai menjadikan kenderaan terbabit sebagai stor sebelum mengedar bahan terlarang itu kepada pelanggan.
“Sindiket ini dipercayai mula bergerak aktif sejak Oktober 2024 dan menjalankan pengedaran di sekitar Lembah Klang.
“Dadah jenis heroin base dipercayai akan diproses terlebih dahulu untuk dijadikan heroin nombor tiga yang boleh digunakan penagih,”katanya.
Fadil berkata, nilai pasaran kesemua heroin base terbabit dianggarkan RM321,000, manakala syabu RM653,000.
“Keseluruhan rampasan dianggar bernilai RM974,000 dan jumlah dadah yang dirampas dipercayai boleh menampung penggunaan seramai 420,400 penagih dadah pada satu masa.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang 12 kali.
“Ujian air kencing ke atas suspek didapati negatif dadah, manakala semakan rekod lampau menunjukkan suspek pernah dihukum di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




