Nairobi: Pemegang rekod Afrika acara 100 meter (m), Ferdinand Omanyala mengalami kecederaan dan menarik diri daripada final Liga Berlian di Zurich minggu ini, yang juga kejohanan terakhir sebelum Kejohanan Dunia di Tokyo.
Pelari berusia 29 tahun itu adalah salah seorang daripada 17 atlet Kenya yang layak ke Zurich, di mana barisan atlet terbaik dunia akan beraksi pada esok dan Khamis ini.
“Saya dengan rasa kesal ingin memaklumkan bahawa saya tidak dapat mengambil bahagian dalam final Liga Berlian,” kata Omanyala sambil menjelaskan dia mengalami kesakitan otot serta bahagian pinggul.
“Saya optimis dengan proses pemulihan dan menjangkakan akan cergas sepenuhnya untuk Tokyo (13 hingga 21 September),” katanya dalam satu kenyataan di Instagram.
Omanyala, yang mencatat rekod Afrika 100m lelaki dengan masa 9.77 saat (s) pada September 2021, dipilih pada ujian kelayakan Kenya Julai lalu sebagai satu-satunya wakil lelaki negara itu dalam acara 100m di Tokyo.
Bagaimanapun, prestasinya dalam siri Liga Berlian musim ini agak merosot. Dia menamatkan saingan di tempat kedua di China dan Maghribi, namun sekadar di tempat terakhir di Shanghai, dalam perlumbaan yang dimenangi pelari Afrika Selatan, Akani Simbine, manakala juara Olimpik dari Jamaica, Kishane Thompson di tempat kedua.
Sementara itu, juara dunia tiga kali 1,500m, Faith Kipyegon, serta juara 10,000m, Beatrice Chebet akan beraksi di Zurich.
Mereka akan bergandingan bersama juara Olimpik 800m dan pemenang Liga Berlian, Emmanuel Wanyonyi, yang sudah meraih empat kemenangan dengan catatan masa terpantas musim ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd