Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima Berhad, Mohd Rafiq Mat Razali, dianugerahkan Darjah Pangkuan Seri Melaka (D.P.S.M.) yang membawa gelaran Datuk.
Pengiktirafan itu disampaikan sempena sambutan ulang tahun ke-76 Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam, dalam satu istiadat di Seri Negeri, Melaka pada 24 Ogos 2025.
Rafiq menyandang jawatan sebagai pengarah urusan Media Prima sejak 1 Oktober 2021. Beliau mempunyai pengalaman luas dalam bidang transformasi digital, kepimpinan strategik dan pengurusan operasi merentas sektor media, teknologi serta telekomunikasi.
Beliau menyertai Media Prima pada 2016 sebagai Ketua Pegawai Eksekutif REV Media Group. Ketika itu, beliau memainkan peranan penting dalam usaha pengambilalihan aset digital utama yang berjaya mengukuhkan kedudukan Media Prima sebagai peneraju dalam landskap digital negara.
Dari segi akademik, Mohd Rafiq memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains (Aktuari) daripada The Pennsylvania State University. Beliau juga merupakan alumni Program Pengurusan Lanjutan (AMP) di Harvard Business School.
Selain komitmen terhadap tanggungjawab korporat, Mohd Rafiq aktif dalam pembangunan industri. Pada tahun 2024, beliau dilantik sebagai Pengerusi Communications and Multimedia Content Forum of Malaysia (CMCF), sebelum penggal tersebut disambung untuk kali kedua pada Januari lalu.
Beliau turut berkhidmat sebagai mentor di Endeavor Malaysia, bagi membimbing usahawan berimpak tinggi dalam memperkukuh ekosistem keusahawanan negara.
Kredit foto: Bernama




