Selepas presiden FAM undur, pemilihan exco patut diadakan semula – Zulakbal

Selepas presiden FAM undur, pemilihan exco patut diadakan semula – Zulakbal

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memerlukan penetapan semula atau ‘reset’ bagi membolehkan badan induk itu distruktur semula dengan barisan kepimpinan lebih jitu.

Pandangan itu disuarakan penganalisis bola sepak tempatan, Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim yang menganggap peletakan jawatan Presiden FAM, Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub tidak akan menyelesaikan masalah dalaman FAM.

Katanya, tindakan Joehari ‘meninggalkan’ FAM ketika beliau baharu enam bulan memimpin organisasi itu menimbulkan banyak persoalan di sebalik keputusannya meletakkan jawatan.

Lantas, beliau beranggapan semua ahli jawatankuasa eksekutif (Exco) perlu dirombak bagi memenuhi aspirasi presiden baharu yang dilantik kelak.

“Joehari dilantik pada kongres lalu bersama barisan Exco lain. Apabila Presiden lepaskan jawatan, sepatutnya satu ‘pasukan’ beliau juga kena ikut serta.

“Biar satu proses pemilihan diadakan semula dengan semua jawatan dipertandingkan supaya barisan baharu kelak lebih harmoni dan efektif.

“Tak guna hanya lantik presiden baharu tapi di bawah masih ada masalah keharmonian dan masalah sama akan berulang serta tidak akan selesai,” katanya kepada Arena Metro.

Terdahulu, Joehari dilaporkan menghantar surat peletakan jawatan pada minggu lalu selepas dilantik sebagai Presiden FAM kelapan pada Februari lalu, bagi menggantikan Tan Sri Hamidin Mohd Amin yang tidak mempertahankan jawatan disandang sejak 2018.

Pada Kongres Tahunan FAM Kali Ke-61 itu, Joehari menang tanpa bertanding manakala dua jawatan Timbalan Presiden pula menyaksikan penyandang, Datuk Mohd Yusoff Mahadi dan Datuk S Sivasundaram mengekalkan jawatan masing-masing selepas turut menang tanpa bertanding.

Bagi jawatan Naib Presiden, Datuk Seri Rosmadi Ismail mengekalkan kerusi berkenaan dengan tiga lagi diisi muka baharu iaitu Datuk Mohd Azhar Jamaluddin, Datuk Dollah Salleh dan Datuk N Saaran.

Manakala 10 lagi jawatan Exco menyaksikan bekas pemain negara, Datuk Zainal Abidin Hassan mengetuai senarai itu diikuti tiga muka lama kekal dengan selebihnya tokoh baharu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top