London: Manchester United masih belum bersedia beraksi di pentas Eropah dan memerlukan lebih banyak masa untuk membina asas kukuh bagi bersaing di Liga Juara-Juara (UCL), kata ketua jurulatih Ruben Amorim, semalam.
United yang menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu di tangga ke-15, gagal merebut peluang beraksi dalam kejohanan kelab elit Eropah selepas tewas kepada Tottenham Hotspur pada final Liga Europa, Mei lalu.
“Saya rasa kami tidak bersedia untuk bermain di Eropah, itu perasaan saya. Untuk berdepan perlawanan sukar dalam Liga Juara-Juara dan kemudian kembali beraksi di EPL, kami perlukan masa untuk berkembang sebagai sebuah pasukan,” kata Amorim kepada wartawan menjelang aksi pusingan kedua Piala Liga menentang kelab divisyen empat, Grimsby Town, esok.
“Jadi (pemain) perlu berjuang untuk posisi mereka, dan selepas itu semuanya boleh berubah.”
United masih gagal meraih kemenangan dalam dua perlawanan awal EPL musim ini selepas tewas 0-1 kepada Arsenal di Old Trafford pada aksi pembukaan sebelum sekadar seri 1-1 dengan Fulham, Ahad lalu.
Amorim menyalahkan pendekatan terlalu bertahan sebagai punca skuadnya melepaskan kelebihan ketika menentang Fulham, sambil menegaskan pemain perlu memperbaiki kelemahan itu.
“Perlawanan sekarang sangat kompetitif. Kami perlukan masa untuk membina asas, dan selepas itu untuk terus melangkah ke depan. Akan tiba masa nanti kami perlu beraksi di Eropah agar semua pemain dapat peluang bermain,” katanya.
Jurulatih dari Portugal itu turut mendedahkan pertahanan, Noussair Mazraoui, yang cedera pramusim, mungkin kembali minggu depan.
“Mungkin dia akan kembali minggu depan, kita lihat nanti. Tetapi dia sudah hampir pulih, kami cuma sedang menamatkan beberapa latihan untuk pastikan dia benar-benar bersedia dan tidak alami masalah semula,” jelas Amorim.
© New Straits Times Press (M) Bhd