Jadilah teladan terbaik

Jadilah teladan terbaik

asyikin.mat@hmetro.com.my

IBU bapa memainkan peranan penting dalam mencorakkan keperibadian anak sama ada berakhlak baik atau sebaliknya.

Sememangnya tanggungjawab ini berat tetapi menjadi satu pencapai terbaik kepada ibu bapa apabila sikap anak terbentuk mengikut ‘acuan’ yang mereka inginkan.

1. Ibu bapa menjadi contoh

Anak-anak tidak akan tahu bagaimana menjadi seorang yang baik jika tidak pernah melihat contoh di hadapan mereka.

Ini bermakna ibu bapa perlu menjadi contoh teladan yang baik dengan menunjukkan sikap baik di hadapan anak-anak.

Otak anak seperti span yang mudah menyerap maklumat di sekeliling mereka.

Malah akan meniru segala apa yang dilakukan dan diperkatakan kepada mereka.

Tunjuk tingkah laku yang baik dan memberitahu kepentingan membantu orang lain serta tidak menjadi individu yang mementingkan diri.

2. Tidak berbohong

Mendidik anak-anak supaya tidak berbohong walaupun membabitkan perkara yang kecil.

Mungkin pada awalnya mereka sukar untuk mengamalkannya kerana biasanya anak-anak cenderung berbohong ketika kecil.

Tetapi dengan kegigihan ibu bapa mendidik mereka dapat membantu mengelakkannya daripada melakukan kesalahan seperti itu.

Sentiasa jelaskan kepada mereka bahawa orang yang baik akan sentiasa bersikap jujur dan tidak berbohong.

3, Adab sangat penting

Semakin ramai yang gagal mengamalkan adab baik seperti menjaga akhlak dan menghormati orang lain.

Menjadi seorang yang baik bermula dengan mempunyai asas adab seperti membiasakan ucapan perkataan ‘tolong’ dan ‘terima kasih.’

Selain itu, berkomunikasi secara sopan dan beradab terutama individu yang lebih berusia.

Namun, semua ini adalah perkara asas menjadi orang baik yang sering dianggap remeh.

4. Mengajar anak tidak mementingkan diri

Memberi derma atau bantuan kepada orang memerlukan adalah pendidikan terbaik melatih anak menjadi insan tidak mementingkan diri.

Umpamanya, mengajar anak mengumpul atau membeli barang untuk didermakan kepada orang memerlukan.

Bawa mereka ke tempat yang menempatkan orang kurang bernasib baik seperti rumah anak yatim supaya mereka dapat melihat kepayahan dialami orang lain.

Jumlah sumbangan tidak penting kerana paling mustahak ialah memberikan bantuan secara berterusan.

5. Hargai tingkah laku baik anak

Penghargaan terhadap perbuatan baik anak adalah penting kerana ia adalah galakan positif untuk mereka membuat kebaikan berterusan.

Tetap memberikan anak pujian walaupun kebaikan dilakukan hanya mencuci pinggan.

Namun, penghargaan diberikan jangan berlebihan kerana sampai satu tahap anak-anak tidak sepatutnya mengharapkan pujian atau penghargaan untuk setiap perkara baik mereka lakukan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top