am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Sebarang tanah hutan simpan kekal yang mahu digunakan untuk tujuan pembangunan mesti diganti semula secara serentak dengan hutan tanah milik kerajaan.
Menteri Perladangan dan Komoditi yang menjalankan tugas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, arahan penggantian itu seperti termaktub di bawah Akta Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 (Akta A1667).
“Untuk kita (kerajaan) bagi kelulusan untuk dia (kerajaan negeri) gunakan hutan simpan kekal untuk buat pembangunan, bila dia mahu ganti, dia kena ganti serentak. Dia (kerajaan negeri) tak boleh (ambil) dulu (tanah hutan simpan kekal).
“Dulu sebelum ada akta mewartakan (Akta A1667) ini, dia pakai hutan simpan kekal, kemudian dia (hanya) berjanji nak bagi (tanah ganti), sekarang tak boleh. Kalau dia mahu keluar (gunakan) 2,000 hektar, dia kena ganti dengan tanah yang (lain), dia perlu wartakan sekali,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) pada sesi soal jawab lisan di Parlimen, hari ini.
Mengulas lanjut, Johari berkata, kerajaan memberi insentif kewangan menerusi Pembayaran Pemindahan Fiskal Ekologi untuk Pemuliharaan Biodiversiti (EFT) kepada kerajaan negeri.
“Setiap tahun kita akan bagi duit kepada kerajaan negeri yang menyahkan hutan dan menjaga hutan yang tidak diguna pakai untuk tujuan lain. Contohnya setakat ini, EFT jumlahnya RM800 juta. Tahun ini saja kita sudah bagi RM250 juta,” katanya.
Terdahulu, ketika menjawab soalan asal Chong Zhemin (PH-Kampar), Johari berkata, berdasarkan rekod Jabatan Perhutanan Perak, jumlah perwartaan keluar hutan simpan kekal di negeri itu pada 2018 hingga 2024 adalah sebanyak 13,402 hektar.
“Pewartaan keluar ini melibatkan pembukaan kawasan untuk tujuan pertanian dan penempatan Orang Asli, pembinaan lebuh raya, pembinaan utiliti lain seperti di kawasan jana kuasa.
“Namun begitu, kerajaan negeri menerusi Jabatan Perhutanan Perak secara aktif giat melaksanakan perwartaan semula bagi menggantikan kawasan yang sudah dinyahwarta,” katanya.
Katanya, sehingga tahun lalu, jumlah kawasan hutan simpan kekal yang sudah diwartakan semula di Perak adalah sebanyak 6,249 hektar.
© New Straits Times Press (M) Bhd




