am@hmetro.com.my
Kuching: Markas Briged Kesembilan Infantri Malaysia (9 Briged) menafikan sekeras-kerasnya pengeluaran surat rasmi yang kononnya digunakan untuk memohon peruntukan kewangan bagi penganjuran jamuan makan sempena Hari Kemerdekaan 2025.
Jurucakap formasi Tentera Darat Malaysia (TDM) itu dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya menerima empat laporan berasingan berhubung surat palsu berkenaan yang menggunakan nama seorang anggota tentera serta butiran unit ketenteraan yang tidak sah.
“Surat itu mendakwa ia dikeluarkan bagi tujuan permohonan peruntukan bagi program yang akan diadakan di Dewan Suarah Sarikei.
“Surat berkenaan menggunakan nama Staf Sarjan Muhammad Fauzi bin Tengku Ibhrahim, Ketua RAMD dari Rejimen 510, Askar Wataniah, Kem Sri Rajang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Berikutan itu, pihak 9 Briged menjalankan siasatan bagi mengesan individu yang bertanggungjawab menyebarkan surat berkenaan dan menyalahgunakan nama institusi ketenteraan.
Menurut kenyataan itu lagi, Panglima 9 Briged, Brigedier Jeneral Jafri Sulaiman, turut menasihatkan orang ramai yang menerima surat seumpama itu supaya membuat laporan polis serta menghubungi pihak markas untuk pengesahan.
“Langkah ini penting bagi mencegah berlakunya jenayah penipuan yang semakin berleluasa serta mengelakkan tercemarnya nama baik TDM dan agensi awam,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




