bhnews@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Penuntut Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan, yang mempunyai masalah penglihatan terhad bersyukur kerana sambutan Aidilfitri tahun ini dapat diraikan bersama keluarga rakan baiknya.
Mohd Sufri Syahrifuddin, 23, dari Kunak, Sabah berkata, dia dengan keluarga rakan baiknya, Mohd Amirol Ridzuan Aripin, 23, yang sama-sama penuntut tahun tiga Sarjana Muda Sunnah dan Pengurusan Maklumat, amat rapat kerana ini bukan kali pertama dia mengikut rakannya pulang ke Kemaman, Terengganu.
Anak bongsu dari tiga beradik itu berkata, dia memilih tidak pulang ke kampung kerana memikirkan kos dan masa yang perlu diperuntukkan selain perlu dikuarantin.
“Sedih memang sedih tetapi saya pendamkan juga perasaan ini kerana jika tiada aral bulan Ogos ini memang akan pulang ke kampung juga.
“Ibu dan ayah juga faham dengan keadaan dan mereka gembira kerana keluarga Mohd Amirol sudi menerima dan mengajak saya menyambut Aidilfitri bersama mereka,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Mohd Sufri berkata, tahun lalu sebaik diumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pihak universiti membenarkan mereka pulang ke rumah, dia turut mengikut rakannya ke Kemaman sebelum pulang ke Kudat dua minggu sebelum Aidilfitri.
“Saya dengan keluarga Mohd Amirol memang sudah rapat dan saya juga sudah menganggap mereka seperti keluarga saya sendiri,” katanya yang bersyukur mempunyai rakan dan keluarga yang sentiasa mengambil berat dirinya.
Mereka berdua antara kumpulan pertama seramai 181 penuntut USIM yang dihantar pulang ke Kelantan dan Terengganu menggunakan bas universiti menerusi Program Pergerakan Pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Pulang Sempena Aidilfitri 2021, semalam.
Sementara itu, kumpulan kedua pelajar USIM seramai 74 orang selamat bergerak pulang ke Melaka, Johor dan Perak pagi ini menaiki empat bas dan sebuah van universiti yang disediakan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar USIM.
Seramai 1,979 pelajar USIM yang berada di kampus terbabit program pergerakan pulang berhari raya dengan 538 orang daripadanya memilih untuk pulang ke kampung menggunakan kenderaan universiti bermula 8 sehingga 11 Mei ini.
Sementara itu, Mohd Amirol berkata, mereka mula berkawan baik sejak minggu suai kenal kerana dia berasa bertanggungjawab untuk membantu Mohd Sufri yang jugra rakan sebilik dan sekuliah.
Katanya, dia sentiasa berasa bimbang memikirkan keadaan rakannya yang perlu menguruskan diri di asrama kerana masalah penglihatan terhad yang dihadapi dan memerlukan seseorang untuk sentiasa bersamanya.
“Mohd Sufri pernah beberapa kali terjatuh apabila berjalan berseorangan ketika di kampus sehingga pernah mengalami kecederaan yang serius.
“Sebab itu saya sentiasa berada bersamanya dan dia juga selesa berkawan dengan saya,” katanya.
Anak keenam daripada lapan beradik itu berkata, sejak di tahun satu lagi dia sudah mengajak Mohd Sufri pulang ke kampungnya kerana bimbang meninggalkannya berseorangan di kampus.
“Syukur ibu bapa saya menerimanya dengan baik. Malah sebaik mengetahui Mohd Sufri tidak balik ke Sabah untuk sambut Aidilfitri, ibu terus mempelawa pulang ke kampung.
“Kami sangat rapat jadi sudah pasti saya akan merasa sedih jika dia menyambut Aidilfitri seorang diri di asrama,” katanya yang selamat tiba di kampung kira-kira jam 3 petang semalam.
© New Straits Times Press (M) Bhd




