Jun Hao tersingkir di tangan Nishimoto

Jun Hao tersingkir di tangan Nishimoto

aida_adilah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Aksi penuh dramatik mewarnai perlawanan perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao apabila terpaksa akur disingkirkan pada pusingan kedua Kejohanan Dunia selepas tewas kepada pemain Jepun, Kenta Nishimoto di Adidas Arena, Paris, sebentar tadi.

Jun Hao yang menghuni ranking ke-25 dunia memulakan perlawanan dengan penuh bergaya apabila menundukkan Nishimoto yang berada di ranking ke-14 dunia, 21-17 dalam tempoh 23 minit di set pertama.

Namun momentum itu gagal dipertahankan apabila Nishimoto memperkemaskan rentak, memaksa pemain negara melakukan kesilapan dan akhirnya menamatkan set kedua dengan kemenangan selesa 21-13, sekali gus mengheret pertarungan ke set penentuan.

Segalanya tampak positif di set ketiga apabila Jun Hao bermula cemerlang dengan mendahului 6-0 hasil serangan pantas dan kawalan gelanggang yang kemas.

Tetapi Nishimoto tidak mudah mengalah, sebaliknya bangkit mengejar mata demi mata sebelum menyamakan kedudukan 10-10.

Pertarungan semakin mendebarkan apabila pemain negara yang terkenal dengan semangat juangnya itu bangkit daripada ketinggalan 15-19 untuk mengikat kedudukan 20-20.

Detik paling mencemaskan tercetus apabila kedua-dua pemain saling kejar-mengejar mata hingga terikat 23-23, namun pengalaman serta ketenangan Nishimoto akhirnya menjadi pemisah apabila menoktahkan perlawanan dengan kemenangan 25-23 dalam tempoh 83 minit.

Kekalahan itu pasti pahit untuk ditelan, namun ia sekali lagi membuktikan Jun Hao mampu bersaing di pentas besar apabila memberi tentangan sengit kepada pemain dalam kelompok 15 terbaik dunia.

Meskipun tersingkir, rekod pertemuan membabitkan kedua-dua pemain itu terikat tiga sama.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top