Cabaran Jun Hao di Paris terhenti

Cabaran Jun Hao di Paris terhenti

CABARAN pemain badminton perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao, dalam Kejohanan Dunia berakhir dalam tempoh 89 minit di pusingan kedua selepas tewas kepada pemain Jepun, Kenta Nishimoto, di Adidas Arena, Paris, Perancis pada Rabu.

Jun Hao yang menghuni ranking ke-25 dunia bermula cemerlang apabila menundukkan Nishimoto 21-17 pada set pertama dalam tempoh 23 minit.

Bagaimanapun, pemain ranking ke-14 dunia itu bangkit lebih kemas pada set kedua untuk mengikat kedudukan dengan kemenangan 21-13, sekali gus mengheret perlawanan ke set penentuan.

Set ketiga menyaksikan Jun Hao mendahului 6-0, namun Nishimoto tidak mudah mengalah apabila mengutip mata demi mata sebelum menamatkan perlawanan dengan kemenangan tipis 25-23.

Sebelum ini, Jun Hao membuka tirai kempen sulungnya dengan menewaskan pemain Switzerland, Tobias Kuenzi, 21-14, 21-12 pada pusingan pertama.

Sementara itu, Nishimoto pula mara selepas menyingkirkan wakil Taiwan, Wang Tze Wei, dengan kemenangan straight set 21-13, 21-12.

Scroll to Top