
Kes tersebut mencetuskan gesaan supaya kerajaan segera menambah kapasiti hospital serta memperbaiki sistem rujukan di seluruh Jawa Barat. Agensi
SUKABUMI – Seorang bayi perempuan berusia setahun meninggal dunia selepas menunggu selama tiga hari untuk mendapatkan rawatan penuh di Hospital Umum Daerah (RSUD) Palabuhanratu, sekali gus mencetuskan kemarahan di media sosial.
Mangsa dikenali sebagai Nadira Meysa Fauzia (NMF), berasal dari Kampung Babakan Astana di Loji, Daerah Simpenan. Difahamkan bayi itu menghidap penyakit jantung kongenital dan dibawa ke unit kecemasan hospital berkenaan pada 20 Ogos lalu. Namun, dia tidak dapat dimasukkan ke wad kerana semua bilik rawatan penuh.
Keadaan Nadira tular di media sosial apabila video yang memaparkan keadaannya tersebar luas di Facebook.
Seorang pengguna, Joe Alfatih mendakwa pihak hospital gagal mengeluarkan surat rujukan segera walaupun pesakit berada dalam keadaan kritikal. Nadira disahkan meninggal dunia pada 23 Ogos, jam 4 petang waktu tempatan.
“Tragedi ini amat menyedihkan buat keluarga Syamsudin dan Diah,” tulis Joe dalam hantaran tersebut.
Joe turut mendakwa pihak hospital sebenarnya sudah diberi amaran mengenai masalah kesesakan sebelum ini tetapi tiada tindakan diambil, meskipun Bupati dan wakil rakyat tempatan pernah melakukan pemeriksaan.
Pengarah hospital, Dr Rika Mutiara Sukanda mengesahkan insiden itu dan mengakui semua unit rawatan khas berada pada kapasiti penuh ketika kejadian.
“Ya, pesakit masuk ke Hospital Palabuhanratu dan dirawat di unit kecemasan. Malangnya, pada hari Sabtu perkara paling buruk berlaku. Memang benar semua bilik penuh. Apa yang diperlukan sebenarnya ialah unit khas atau unit rawatan rapi pertengahan,” katanya dalam temu bual telefon bersama Tribun Jabar pada Rabu.
Dr Rika turut menyampaikan takziah kepada keluarga mangsa dan menyifatkan kejadian itu sebagai satu pengajaran pahit buat pihak hospital.
“Ini bukan sahaja tragedi untuk keluarga pesakit, tetapi juga buat kami sebagai petugas perubatan. Kami amat berdukacita dan akan menjadikan peristiwa ini sebagai penilaian agar tidak berulang pada masa depan,” tambahnya.
Kes tersebut mencetuskan gesaan supaya kerajaan segera menambah kapasiti hospital serta memperbaiki sistem rujukan di seluruh Jawa Barat, memandangkan fasiliti kesihatan di wilayah itu kini masih dibebani permintaan pesakit yang tinggi.- Agensi



