aida_adilah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei tidak berdepan masalah untuk mengesahkan tiket ke pusingan ketiga Kejohanan Badminton Dunia, sebentar tadi.
Nyata lawan dari India, Rohan Kapoor-Ruthvika Shivani Gadde bukanlah tandingan buat Tang Jie-Ee Wei yang hanya memerlukan 30 minit untuk menyingkirkan beregu itu.
Dalam aksi yang berlangsung di Adidas Arena, Paris, pasangan pilihan keempat kejohanan itu menamatkan cabaran lawan ranking ke-33 dunia dengan kemenangan straight set 21-16, 21-11.
Kemenangan itu juga menyaksikan pertemuan pertama antara kedua-dua pasangan berpihak kepada wakil negara yang tampil cukup kemas dengan penguasaan gelanggang, sekali gus memberi isyarat awal kepada lawan.
Tang Jie-Ee Wei yang sebelum ini melakar kejayaan manis di beberapa siri antarabangsa, jelas berada di kelas tersendiri apabila bijak mengekang usaha kebangkitan lawan yang cuba bangkit terutama di set pertama.
Momentum kemenangan itu nyata menjadi bekalan berharga buat pasangan negara menjelang pusingan ketiga.
Mereka selepas ini akan berdepan lawan dari Indoensia, Jafar Hidayatullah-Felisha Alberta Nathaniel Pasaribu yang melakar kemenangan ke atas pasangan Serbia, Mihajlo Tomic
Andjela Vitman 21-19, 22-20.
© New Straits Times Press (M) Bhd