redzuan.muharam@hmetro.com.my
Semenyih: “Segelintir orang luar pandang kami macam tak tahu apa sedangkan kami pun mahu sambut hari kemerdekaan,” kata Orang Kurang Upaya (OKU) intelektual, Mohamad Fazrimy Mohamad Radzi.
Mohamad Fazrimy, 29, yang kini pelatih di Akademi Permata Impian (APIM), dekat sini, berkata, sebagai rakyat Malaysia, dia juga teruja menyambut Hari Kebangsaan pada 31 Ogos nanti.
Bagaimanapun, Mohamad Fazrimy mahu rakyat negara ini bukan sekadar menyambut hari kebangsaan malah memerdekakan pemikiran daripada stigma negatif terhadap OKU.
“Segelintir orang pandang rendah dengan kami tapi bukan semua OKU tak faham mengenai kemerdekaan.
“Macam saya di sini pun diajar oleh tenaga pengajar, jadi faham juga hari kemerdekaan,” katanya ketika ditemui selepas Sambutan Di Ambang Merdeka APIM dekat Seksyen 3, Bandar Rinching, di sini.
Program dirasmikan Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) Zon N22 Semenyih, Mohd Zulkefli Ridzwan.
Sementara itu, Pengerusi APIM, Ahmat Saridan Suhairi@Kassim berkata, Sambutan Di Ambang Merdeka bertemakan OKU Merdeka Bersama Komuniti dan Masyarakat diadakan menjelang Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini bertujuan mendekatkan komuniti setempat dengan OKU.
Katanya, penganjuran kali ketiga itu diadakan dengan kerjasama Universiti Malaya (UM) sebagai rakan sinergi dan diteruskan kerana melihat kepentingannya dalam menyemarakkan bulan kemerdekaan.
“Program hari ini membabitkan 30 anak pelatih APIM dan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Semenyih yang majoritinya kategori OKU masalah pembelajaran.
“Matlamat kita jemput masyarakat setempat adalah untuk buka mata mereka dan beri pemahaman bahawa OKU pun nak raikan sambutan kemerdekaan.
“Cuma segelintir (OKU) tak faham dan APIM dengan bantuan empat tenaga pengajar cuba bantu beri pemahaman kerana mereka (pelatih) suka bertanya soalan misalnya apa itu bendera dan banyak lagi berkaitan kemerdekaan. Jadi peranan kita adalah bantu beri penjelasan supaya mereka pun ada semangat patriotik,” katanya.
Dalam pada itu, Pensyarah Kanan UM, Dr Maisarah Hasbullah, 44, berkata, beliau berbesar hati kerana dapat menjalin kerjasama dengan APIM dalam menganjurkan program yang menyatukan OKU dan masyarakat setempat.
Katanya, pembabitan dalam program itu membantu merealisasikan hasrat memainkan peranan berterusan universiti kepada komuniti setempat.
“Saya suka moto program ini, OKU Merdeka Bersama Komuniti dan Masyarakat kerana daripada situ nampak misi dibawa APIM.
“Hari ini, empat penuntut Program Sarjana Sains Kelestarian turut serta yang mana peranan mereka bukan hanya untuk memeriahkan namun bantu kongsi rekaan digital yang mampu beri nilai tambah kepada pelatih di sini.
“Ia secara tak langsung membantu APIM melatih penuntut dalam asas pekerjaan mengikut keunikan dan bakat mereka,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd